Rabu, 5 Jun 2013

Perginya sebutir bintang

RAZIATUL HANUM A.RAJAK

S Shamsuddin
S Shamsuddin
 
"JIM yang ini matanya di tengah-tengah, yang ini pula matanya di atas, cikgu…jim pakai toncit."

Dialog mencuit hati daripada filem Pendekar Bujang Lapok ini pasti mengingatkan kita pada allahyarham S.Shamsudin atau lebih mesra dengan panggilan Sudin.

Apa yang pasti, kisah dan lawak jenaka tiga bujang lapuk yang dilakonkan oleh Allahyarham Tan Sri P.Ramlee, Datuk Aziz Satar dan Sudin tidak akan lapuk ditelan dek zaman.

Setelah empat dekad pemergian P.Ramlee, kita dikejutkan dengan pemergian Sudin, 84, pagi semalam.

Allahyarham dilaporkan tidak sedarkan diri di rumah anak lelakinya, Mohammed Arifin, 44 tahun dan dibawa ke Hospital Universiti Nasional Singapura.

Beliau disahkan meninggal dunia pada pukul 10.56pagi.

Jenazah akan dibawa ke Masjid Al-Mukminin di Jurong East pada jam 10 pagi ini untuk disembahyang dan dikebumikan di Pusara Abadi.

Kehilangan Sudin turut dirasai oleh kawan rapatnya, Aziz Satar yang turut membintangi filem hitam putih yang diterbitkan pada 1959 itu.

Beliau akui kehilangan sahabat karib yang tiada galang gantinya.

"Kehilangan Sudin begitu dirasai kerana kami sahabat karib. Lama betul kami berkawan. Sejak usia belasan tahun, sebelum masuk bidang lakonan lagi.

"Dia seorang sahabat yang menghiburkan hati, telatahnya selalu menggelikan hati. Saya rasa sangat kehilangan," katanya.

Sudin mula terlibat dalam dunia lakonan pada tahun 1948 apabila diberi peluang untuk menjadi pelakon tambahan bagi filem Chempaka.

Sudin pernah diiktiraf sebagai Pelawak Terbaik dalam Festival Filem Malaysia Kedua (FFM2)pada tahun 1981 dan pada FFM22, Sudin menerima Anugerah Istimewa Pelakon Veteran Lelaki.

Filem-filem lakonannya seperti Hang Tuah, Bujang Lapok, Nujum Pak Belalang, Ali Baba Bujang Lapok, Seniman Bujang Lapok, Nasib Si Labu Labi masih segar sehingga ke hari ini.

Sudin berkahwin dengan Puteh Ismoon, 77 pada tahun 1954 dan dikurniakan tujuh orang anak.

Salah seorang anak lelakinya, Mohd Ariff mengikut jejak langkahnya apabila bergelar pelakon dan pelawak di Singapura.

Tiada ulasan: