Jumaat, 7 Jun 2013

Pasar Payang: Buka semula pintu rundingan

Wartawan Sinar Harian

Pasar Payang
Pasar Payang
 
KUALA TERENGGANU - Pemimpin PR meminta Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said membuka balik ruang rundingan berhubung cadangan pembangunan semula Pasar Payang dan melihatnya secara rasional dan terbuka.

Adun Batu Burok, Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi berkata, daripada laporan dan aduan yang diterima pihaknya, ramai pihak dari dalam dan luar negara yang tidak bersetuju dengan cadangan pembangunan semula Pasar Payang.

“Saya hormati beliau (Ahmad) sebagai menteri besar dan Adun yang sudah lama di negeri ini. Saya harap dia turut mengambil kira pandangan saya dan orang ramai. Apatah lagi Parlimen Kuala Terengganu kini dipimpin oleh PR, wajar untuk mereka meminta pandangan daripada kami sebagai wakil rakyat.

“Peniaga di Pasar Payang kini semakin bimbang dan mereka berjumpa dengan kami dan menolak cadangan itu. Sebab itu saya mengharapkan MB membuka balik ruang rundingan.

“Kalau nak bina juga hotel dan apartmen, buatlah di tempat lain dan bukan di tapak Pasar Payang. Kita tidak akan bantah kalau dibuat di tempat lain dan kami akan menyokong jika pembangunan itu diubah ke kawasan lain yang lebih sesuai,” katanya yang juga Penolong Setiausaha Agung Pas.

Beliau berkata demikian pada sidang media yang diadakan di Pusat Khidmat Masyarakat Parlimen Kuala Terengganu di Paya Keladi di sini, semalam.

Sementara itu, Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad berkata, ramai peniaga di Pasar Payang kini dalam kebimbangan kerana sudah ada individu yang datang membuat ukuran, bancian dan sebagainya di dalam pasar.

“Ini satu perkara yang menyedihkan, apatah lagi makin menghampiri Ramadan. Bukan segelintir sahaja yang tidak bersetuju, malah ramai NGO yang turut membantah cadangan itu.

“Satu memo bantahan daripada 22 NGO juga telah dibuat dan diserahkan kepada perdana menteri pada 23 Februari lalu, sewaktu mengadakan lawatan di Pasar Payang dan Hentian Bas MBKT,” katanya.

Tidak cukup dengan itu katanya, jawatankuasa bertindak untuk menyelamatkan Pasar Payang itu mengambil inisiatif mengambil tandatangan tanda sokongan orang ramai, termasuk pengunjung luar.

“Tidak mudah untuk kita gantikan sebuah warisan dengan yang baru. Lihat sahaja bagaimana di Istanbul, kerajaan nak bangunkan sebuah taman awam, tetapi dibantah keras, menunjukkan betapa warisan itu sangat penting.

“Kita mesti ambil fahaman daripada sentimen orang. Bukan sahaja Pasar Payang, kawasan berdekatan seperti Kampung Cina juga dibimbangi akan terjejas perniagaannya. Kita amat bimbang jika ia diteruskan,” katanya.

Jelasnya, isu keselamatan yang ditimbulkan sebelum ini, dilihat ada keraguan kerana berdasarkan laporan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) pada tahun 2010, kajian menunjukkan memang ada tiang yang rosak, tetapi hanya bahagian di dalam air iaitu melibatkan pasar ikan sahaja.

“Sebab itu bagi saya, kenapa disebabkan tiang, kita nak rombak semuanya kerana kita tahu yang terlibat di bahagian air itu, hanya sebahagian dari pasar ikan. Jika tidak selamat, sudah lama ia runtuh.

“Jadi ini menunjukkan ia bukanlah serius. Bayangkan, sudah lebih tiga tahun. Kita ada rekod semuanya. Tapi kalau nak buat juga seperti mana yang dicadangkan, buatlah di tempat lain dan bukannya di tapak Pasar Payang,” katanya.

Tiada ulasan: