Khalid Abu Bakar
Khalid Abu Bakar
 
PETALING JAYA - Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan membantu Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), jika diperlukan, bagi mengambil tindakan terhadap kumpulan yang berkhemah di Padang Merbok.
 
Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata meskipun kawasan itu di bawah tanggungjawab DBKL, polis sedia membantu sekiranya diperlukan.
 
Setakat 3 petang ini, masih terdapat 30 khemah didirikan di Padang Merbok walaupun DBKL mengeluarkan notis mengosongkan kawasan itu pada pukul 10 pagi tadi.
 
Khalid memaklumkan pemberita selepas majlis kempen kesedaran jenayah di sini hari ini, bahawa tindakan tetap diambil terhadap penganjur seperti yang termaktub dalam Akta Perhimpunan Aman.
 
Menyentuh jerebu di beberapa kawasan di selatan Semenanjung Tanah Melayu yang terus kritikal, beliau berkata pihaknya akan memberi bantuan jika memerlukan perpindahan.

Pada majlis itu, Khalid berkata satu kumpulan 'walkie-talkie' diwujud bagi menjadi mata dan saluran kepada polis dalam usaha membanteras jenayah melalui kerjasama dengan Persatuan Komuniti Kepolisan Malaysia.
 
"Saya difahamkan persatuan ini tampil beri kerjasama dengan PDRM menggunakan walkie-talkie di mana kita dapat menyebarkan maklumat berkaitan penjenayah dengan cepat.
 
"Saya dimaklumkan, seramai 300 pengguna walkie-talkie persatuan ini berada di seluruh pelusuk Selangor dan Kuala Lumpur bagi membantu mengawasi perbuatan jenayah," katanya. - Bernama