Khamis, 6 Jun 2013

Najib perlu henti cipta ‘Kafkaesque’

Roketkini.com



KUALA LUMPUR: Pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak harus berhenti mencipta Malaysia yang ‘Kafkaesque’ jika mahu meningkatkan usaha menangani persepsi negatif dan mengingatkan penjawat awam supaya tidak leka dengan terlalu berpolitik.

Kafkaesque dinamakan sempena nama penulis, Franz Kafka yang digunakan untuk menggambarkan apa saja yang tidak masuk akal, tidak warna dan tiada titik rujukan juga menggambarkan sesuatu yang sangat rumit tanpa sebab, terutama merujuk kepada birokrasi.

Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang berkata, Najib memberitahu perkara itu pada perhimpunan pertama petugas Jabatan Perdana Menteri, semalam selepas Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13).

“Karakter Kafkaesque pemerintahan Najib ditonjolkan melalui ucapannya semalam, yang  memberi amaran kepada penjawat awam supaya tidak leka dengan lebih berpolitik sedangkan sesetengah penjawat awam sememangnya bersalah atas perintah tuan politik mereka.

“Saya tidak tahu bila Najib akan berhenti daripada telatah Kafkaesque kerajaan Barisan Nasional (BN), sama ada di peringkat Persekutuan atau kerajaan negeri dan mula dengan mentadbir secara serius untuk memulihkan keyakinan seluruh rakyat Malaysia,” katanya dalam kenyataan media, di sini, hari ini.

Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Gelang Patah memberikan tiga contoh yang menerjah mindanya iaitu:
  • Pertama, pihak polis dengan KPN paling kuat “berpolitik” yang mana keutamaan tertingginya adalah mengambil tindakan kekerasan ke atas pemimpin Pakatan Rakyat dan aktivis sosial sedangkan kebimbangan utama rakyat dan negara ialah gelombang jenayah yang melanda negara dan termasuk kerosakkan disiplin polis dengan tiga tahanan mati dalam lokap polis dalam tempoh 11 hari.
  • Kedua, Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) yang kelihatan mendapat taklimat politik daripada Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi untuk menyusahkan Parti Tindakan Demokratik (DAP), ke tahap mahu membatalkan pendaftaran DAP sebagai tidak sah dan melanggar undang-undang tanpa asas kukuh.
  • Ketiga, Ketua Pengarah Imigresen yang entah daripada mana mengeluarkan amaran untuk membatalkan pasport ribuan rakyat Malaysia di luar negara kerana melaksanakan hak yang dijamin perlembagaan untuk menyokong perikatan politik pilihan mereka pada PRU-13.
Malah, menurutnya, gambar yang diterbitkan dalam semua akhbar hari ini berkenaan Perhimpunan itu menonjolkan karakter Kafkaesque pemerintahan Najib kerana menunjukkan Menteri tidak sah di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Paul Low, berdiri di barisan yang sama dengan enam Menteri lain di sebelah Najib.

Beliau berkata, dalam ucapan tahniah kepada Yang diPertuan Agong pada hari keputeraan baginda, Najib berikrar menjunjung Perlembagaan dan memperbaiki kualiti pentadbiran dan integriti kerajaannya, tetapi beliau tidak melakukan apa-apa untuk membetulkan tindakan tidak mengikut Perlembagaan dalam melantik dua Menteri dan tiga Timbalan Menteri tanpa terlebih dahulu mengangkat sumpah sebagai Senator.

“Malah, Najib mula mencipta Malaysia yang Kafkaesque sejurus selepas pengumuman PRU-13, menyeru kepada “kerukunan nasional” beberapa minit selepas beliau menghancurkan asas kepada proses itu dengan mengatakan keputusan PRU-13 adalah akibat “tsunami Cina”.

“Selepas PRU-13, Najib juga berjanji dalam blognya untuk menjadi Perdana Menteri kepada semua rakyat Malaysia, tidak mengira kaum, agama, negeri atau pendirian politik, tetapi beliau membiarkan alat propaganda UMNO, terutamanya Utusan Malaysia, New Straits Times dan Berita Harian terus membiakkan ekstrimisme dan rasisme setiap hari berdasarkan pembohongan dan penipuan untuk terus memecah-belahkan kaum, agama dan hubungan politik di negara ini,” katanya.

Kit Siang berkata, pagi semalam, beliau bersama Anwar Ibrahim, Nurul Izzah, Rafizi Ramli, Mohamad Sabu, Ambiga Sreenivasan, Syed Ibrahim Syed Noor, Wong Chin Huat, Maria Chin Abdullah, Ong Boon Kiang, Hishammuddin Rais, turut dihalang daripada memasuki Sabah oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman.

Katanya, itu bukan saja tidak mengikut perlembagaan dan tidak sah kerana melanggar Seksyen 67 Akta Imigresen yang menyatakan hak rakyat Malaysia untuk memasuki Sabah bagi tujuan “aktiviti politik yang sah”, ia juga benar-benar memperolok dasar 1Malaysia Najib dan dakwaan untuk menjadikan Malaysia sebagai “demokrasi terbaik di dunia” apabila Ahli Parlimen yang dipilih mempunyai hak untuk melawat Sabah berbanding jutaan pendatang haram.

“Malam semalam, Astro Awani memetik kenyataan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hamza Taib mengesahkan bahawa negeri itu telah menarik balik sekatannya ke atas Nurul Izzah daripada memasuki Sabah dan tiada individu lain berada dalam senarai hitam imigresen.

“Ini menimbulkan persoalan mengapa pengumuman sedemikian tidak dibuat Ketua Imigresen Sabah yang bertanggungjawab terhadap perkara itu.

“Kenyataan Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, Tan Sri Sukarti Wakiman bahawa tiada sekatan kekal terhadap mana-mana pemimpin oposisi daripada memasuki Sabah, pagi ini, tidak disiarkan akhbar New Straits Times,” tambahnya.-Roketkini.com

Tiada ulasan: