Khamis, 27 Jun 2013

Menteri Perlu Perjelas Dakwaan Ijazah Palsu


ijazah palsu

KUALA LUMPUR  : Dua menteri kabinet Datuk Seri Najib Razak yang dikaitkan dengan ijazah palsu dari luar negara digesa memperjelaskan perincian berkenaan dakwaan tersebut.

Ahli Parlimen Serdang, Dr Ong Kian Ming mendakwa beliau memperolehi maklumat mengenai kelulusan Menteri Sumber Manusia, Datuk Richard Riot Jaem daripada laman web Kementerian Luar Negeri.

“Kami menyeru menteri untuk menjelaskan mengapa Kementerian Luar Negeri menyenaraikan kelayakan beliau sebagai sedemikian dan bukannya apa yang menteri sebut bahawa beliau mendapat Ijazah Sarjana Muda dan Sarjana dari University of Hertfordshire seperti mana yang dilaporkan dalam pelbagai laman online semalam,” katanya.

Dr Ong berkata demikian dalam satu sidang media di lobi Parlimen di sini hari ini.

Richard didakwa memperolehi Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan dari Chartered Institute of Business Administration (Ireland), Teoranta pada tahun 1994 dan Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan dari Preston University, Amerika Syarikat.

Dalam pada itu, Richard dilaporkan akan mengambil tindakan undang-undang terhadap tuduhan berkenaan.
Mengulas lanjut, Dr Kian Ming menyatakan kesediaan berdepan dengan tindakan undang-undang berhubung kenyataannya.

Menurut Dr Kian Ming, laman web Kementerian Sains dan Teknologi juga tidak lagi menampilkan butir peribadi menterinya, Datuk Dr Ewon Ibin pada hari ini.

Sebelum ini, Dr Kian Ming mendedahkan menteri (Ewon) berkenaan memperolehi Ijazah Sarjana dalam Pentadbiran Perniagaan (MBA) daripada Commonwealth Open University dan Doktor Falsafah dalam Pentadbiran Perniagaan (DBA) daripada Golden State University, Wyoming, Amerika Syarikat.

“Kami menyeru Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk meminta perletakan jawatan serta merta salah seorang atau kedua-dua menteri tersebut sekiranya mereka tidak ikhlas mengenai kelayakan pendidikan mereka atau telah memperolehi ijazah ragu daripada kilang ijazah,” ujarnya lagi.

Tiada ulasan: