Khamis, 20 Jun 2013

Mahathir berbohong untuk api-apikan, laga-lagakan kaum di Malaysia


Oleh LIM KIT SIANG

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Shahidan Kassim mungkin merasakan beliau telah berbudi terhadap kaum Cina di Malaysia apabila beliau menasihatkan mereka untuk menjauhkan diri daripada “perkauman ekstrem” yang dibawa oleh DAP agar “Malaysia pada suatu hari nanti boleh mendapat seorang Perdana Menteri daripada kaum Cina.”

Dalam kenyataannya itu Shahidan membuat dua kesilapan besar, pertama apabila beliau mendakwa DAP telah “menyemai” semangat “perkauman ekstrem” di kalangan masyarakat Cina dan, kedua, apabila beliau membangkitkan soal Perdana Menteri dari kalangan orang Cina sedangkan perkara ini sama sekali tidak pernah termasuk dalam pertimbangan politik orang Cina di Malaysia.

Sebagai satu penegasan dan penjelasan untuk Shahidan Kassim, persoalan Perdana Menteri dari kalangan Cina tidak pernah menjadi satu persoalan penting. Sebaliknya, persoalan yang penting adalah sama ada Malaysia mempunyai seorang Perdana Menteri untuk semua rakyat tanpa mengira kaum, agama, daerah atau status sosio-ekonomi.

Selain itu, DAP tidak pernah mendoktrin atau menyemai “perkauman ekstrem” di kalangan masyarakat Cina. Sejak penubuhan parti ini 46 tahun yang lalu, iaitu pada tahun 1966, kami mengajak semua rakyat Malaysia untuk membentuk jatidiri dan kesedaran bangsa Malaysia, merentasi perbezaan perkauman, kesukuan, kebudayaan dan kedaerahan – justeru inilah sepanjang 46 tahun sejarahnya, DAP tidak pernah walaupun sekali mengajak kepada perpaduan Cina, perpaduan Melayu, perpaduan India, perpaduan Kadazan, atau perpaduan Dayak, sebaliknya parti ini menyeru semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum, agama, atau daerah, ke arah Impian Malaysia, bukan Impian Cina, Impian Melayu, Impian India, Impian Kadazan atau Impian Dayak.

Dalam wawancara eksklusif dengan Sin Chew Daily pada hari Isnin lalu, Shahidan berkata: “Jika kaum Cina sanggup keluar dari sempadan perkauman dan bergabung ke dalam masyarakat Malaysia bersama kaum lain, mengamalkan perkongsian kuasa, saya percaya suatu hari nanti Malaysia akan mendapat seorang perdana menteri daripada kaum Cina.”

Wawancara Shahidan dengan Sin Chew menyingkapkan dua perkara: pertama, sejauh mana Mahathirisme telah mempengaruhi pemikiran beliau; kedua, betapa cetek kefahamannya tentang aspirasi golongan Cina atau bukan-Melayu, dan ini membangkitkan persoalan apakah Shahidan seorang Menteri Melayu atau seorang Menteri Malaysia.

Untuk makluman Shahidan, DAP sejak awal lagi berpegang dengan integrasi dan asimilasi sebagai asas pembinaan bangsa Malaysia untuk menyatukan pelbagai kaum, agama, bahasa, dan budaya sehingga muncul satu warna Malaysia yang unik.

Jelas bahawa Shahidan adalah salah seorang murid Mahathir yang menelan setiap patah kata Mahathir sebagai sabda kebenaran, termasuk kata-kata paling tidak bertanggungjawab dan sembarangan yang diungkapkan Mahathir dalam blog beliau 6 Jun lalu, berjudul “Racial Polarisation”.

Kelmarin, Mahathir menyebut bahawa kebebasan perlu dikurangkan jika kita mahu membina Malaysia yang lebih baik.

Sebab? Menurut Mahathir, “kebebasan yang terlalu besar akan membuka lebih banyak peluang untuk pihak tidak bertanggungjawab menyalahgunakan kebebasan, membawa kepada ketidakstabilan”, iaitu apabila “isu-isu perkauman yang sensitif lebih banyak disebut pada hari ini kerana undang-undang yang keras seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) tidak lagi wujud.”

Sesuatu yang ironi dan sekaligus tragik kerana manusia yang paling kerap menyalahgunakan kebebasan secara tidak bertanggungjawab dengan membangkitkan persoalan perkauman yang panas dan sensitif sewaktu dan selepas PRU13 adalah Mahathir sendiri – tetapi nampaknya beliau kebal daripada undang-undang negara ini walaupun telah melakukan sekian banyak hasutan menerusi kenyataan-kenyataan beliau sejak beberapa bulan lalu.

Adakah Mahathir sanggup tampil di depan suruhanjaya penyiasatan bebas bagi menyiasat dakwaan saya bahawa Mahathir adalah orang paling banyak menyalahgunakan kebebasan dan undang-undang, bukan saja dengan mengeluarkan kenyataan panas dan mengasut, malah melaga-lagakan satu kaum dengan yang lain – sebelum, sewaktu dan selepas PRU13?

Tulisan sepanjang sembilan perenggan berjudul “Racial Polarisation” di blog Mahathir boleh dianggap sebagai contoh terbaik bagi tulisan yang menggunakan pembohongan untuk mengapi-apikan dan melaga-lagakan kaum.

Antara pembohongan Mahathir dalam blog beliau:
  • DAP mengapi-apikan kebencian terhadap Melayu
  • Ceramah Black 505 di seluruh negara yang diadakan untuk membantah penipuan dan salah laku dalam PRU13 adalah manifestasi “perkauman Cina”, sedangkan orang Melayu adalah yang paling ramai menyertai kebanyakan ceramah Black 505; dan
  • DAP menolak konsep perkongsian Melayu/Cina/India, kononnya kerana: “DAP mahu Cina yang telah pun menguasai ekonomi untuk turut menguasai politik Malaysia. Ia terang-terang rasis dan menolak perkongsian kuasa dan kekayaan yang dibawa oleh BN.”
Kenyataan rasis, sembarangan, dan menghasut yang lain dibuat oleh Mahathir sebelum PRU13 ketika beliau berbohong bahawa saya bertanding di Gelang Patah kerana saya mahu:
  • Kaum Cina di Gelang Patah dan Johor “menolak kerjasama dan perkongsian dengan Melayu”;
  • Cina di Johor “membenci Melayu” untuk mewujudkan “ketegangan dan perseteruan di antara kaum”;
  • Meweujudkan “pertembungan kaum yang tidak sihat” di antara Melayu dan Cina di Johor sehingga “mengganggu dan menjejaskan pembangunan Malaysia.”
Bagaimana seorang manusia yang pernah menjadi Perdana Menteri Malaysia selama 22 tahun boleh bersikap sebegitu tidak bertanggungjawab sehingga sanggup mengungkapkan kenyataan-kenyataan perkauman yang begitu tidak bertanggungjawab, sembarangan dan menghasut?

Penyalahgunaan kebebasan bersuara dan menyatakan pandangan oleh Mahathir tidak boleh digunakan sebagai alasan untuk mengekang kebebasan semua rakyat Malaysia.

Tiada ulasan: