PASIR GUDANG - Kerajaan Johor bercadang melanjutkan tempoh penutupan sekolah di semua daerah berikutan kualiti udara tidak sihat akibat jerebu.

Bagaimanapun, keputusan itu dibuat berdasarkan bacaan terbaru Indeks Pencemaran Udara (IPU) jika tahap kualiti udara kekal pada paras berbahaya iaitu melebihi 300.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Md Jais Sarday berkata, Kerajaan Negeri bimbang keselamatan dan tahap kesihatan pelajar sekiranya sekolah dibuka semula.

“Jika bacaan IPU esok (hari ini) menunjukkan penurunan dan keadaan cuaca selamat, sekolah yang ditutup sebelum ini akan beroperasi semula seperti biasa dan akan dipantau dari semasa ke semasa.

“Bagaimanapun, jika bacaan IPU menunjukkan tiada penurunan atau masih berada pada tahap berbahaya, kita akan lanjutkan tempoh penutupannya sehingga keadaan benar-benar pulih,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri majlis perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Ke-26 Koperasi Pelabuhan Johor, semalam.

Sehingga kini, 803 sekolah rendah dan menengah di Muar; Ledang; Pasir Gudang; Pontian; Kota Tinggi; Kluang dan Batu Pahat membabitkan 398,890 pelajar dihentikan operasinya secara berperingkat sejak Khamis lalu.

Katanya, Kerajaan Negeri bersama Unit Bencana Negeri memantau perkembangan terbaru dan menasihatkan rakyat supaya mengambil langkah berjaga-jaga.