Khamis, 27 Jun 2013

Dr Nasir : PAS dan PSM Tidak Bercanggah


KLSCAH 01

KUALA LUMPUR  : Parti Sosialis Malaysia (PSM) dan PAS dilihat mempunyai persamaan dalam perjuangan apabila menitikberatkan kebajikan rakyat dan membela pihak yang tertindas akibat kerakusan pemerintah mengekalkan kuasa.

Pengerusi PSM, Dr Nasir Hashim berkata, parti tersebut yang berteraskan fahaman sosialis bergerak demi menegakkan nasib rakyat yang dinafikan hak yang sepatutnya menjadi milik mereka.

“Kita sebagai sosialis memperjuangkan hak dan keadilan. Kita tidak membenarkan sesiapa menindas sesiapa. Asas kami adalah kasih sayang.

KLSCAH 02

“Dari situ kita dapat keadilan, keharmonian dan atasi pelbagai perkara lagi. Bermakna kita hormati rakyat dan maju ke depan selain memperkasakan mereka,” katanya sebagai panelis dalam wacana “Islam, Sosialis, Liberal! PAS Di Mana? anjuran Free Public Forum Malaysia (FPF) di sini semalam.

Panelis lain ialah Pengarah Institut Kajian Dasar (IKD), Khalid Jaafar; Ahli Parlimen Parit Buntar, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa; Pengarah Eksekutif Middle Eastern Graduate Center (MEGC), Al-Mustaqeem Mahmod Radhi dan aktivis politik, Hishamuddin Rais.

Dr Nasir berkata, apa yang berlaku dewasa ini adalah rakyat sering menjadi mangsa kepada kerajaan yang memerintah dengan berpihak kepada golongan kapitalis.

Menurutnya, PSM boleh bersama dalam perjuangan seandainya terdapat parti politik atau pihak lain turut menyuarakan perkara sama.

“Kalau ada pihak yang memperjuangkan penindasan, mengapa tidak kita turut serta. Kalau kita dalam pergerakan sama, mengapa tidak boleh bersama,?” soalnya.

Bagi Dr Mujahid, agenda negara berkebajikan diperjuangkan PAS sejak 1960an adalah gambaran jelas parti itu mementingkan pembelaan terhadap rakyat serta menegakkan syiar Islam di negara ini.

Tambahnya, biarpun berfahaman atau berideologi berbeza namun PAS boleh berganding tenaga dengan parti politik seperti DAP dan PKR menerusi persamaan yang wujud.

“Kita turut bersama menentang penindasan yang terjadi. Jika dilihat ada banyak pemimpin PAS yang turut ditahan menerusi Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) ketika memperjuangkan golongan tertindas.
“PAS masuk politik sebab apa? Ada yang kata kita gila kuasa. Ya. Apa guna masuk politik dan bertanding kalau tidak mahu menang.

“Apa guna satu ideologi kalau ideologi itu tidak mampu mengubah keadaan. Bagi kami parti Islam, kami yakin Islam boleh membawa perubahan dengan maksudnya yang sama sepertimana dibawa oleh Nabi Muhammad S.A.W,” katanya yang juga Ahli Jawatankuasa PAS Pusat.

Isu PSM dan PAS menjadi hangat dalam pilihanraya lalu apabila berlaku pertandingan antara calon kedua parti itu seperti di DUN Kota Damansara yang menyebabkan Pakatan Rakyat gagal mempertahankan kawasan berkenaan.

Tiada ulasan: