Khamis, 23 Mei 2013

SPR : Kalau tak puas hati, inilah masanya guna undang-undang

JAMILAH HAMZAH

Wan Ahmad Wan Omar
Wan Ahmad Wan Omar
 
SHAH ALAM - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyatakan mana-mana pihak yang tidak berpuas hati dengan sistem pilihan raya yang diamalkan perlu diubah dengan menggunakan pendekatan undang-undang bukan "turun ke jalan raya".

Timbalan Suruhanjaya SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar berkata, Malaysia mengamalkan sistem "Westminster" di dalam pilihan raya di mana kemenangan sesuatu kuasa berdasarkan majoriti kerusi Parlimen dan Dun yang dipertandingkan.

Menurutnya, undi popular tidak diambil kira di Malaysia untuk menyumbangkan kepada kemenangan pilihan raya lalu membentuk kerajaan.

"Sistem dalam pilihan raya terbahagi kepada dua, satunya menentukan kemenangan melalui majoriti mudah berdasarkan kepada jumlah kerusi yang dimenangi.

"Keduanya perwakilan berkadar yang mengira undi popular, ini dibuat di negara yang ada Presiden sebagai ketua negara.

"Jadi kita tak bolehlah. Sistem yang kita guna pakai ini berlandaskan kehendak Perlembagaan... sekelip mata kita nak ubah," katanya dalam wawancara khas bersama Sinar Harian semalam.

Keputusan PRU13 diwartakan semalam di mana dalam tempoh 21 hari, bermula hari ini, calon dan parti politik yang tidak puas hati boleh memfailkan petisyen berhubung keputusan pilihan raya umum di mahkamah mengikut negeri masing-masing.

Sebelum ini, pembangkang mendakwa kemenangan mereka telah dirompak sehingga membawa kepada penganjuran himpunan 'Blackout 505' di seluruh negara bagi membantah keputusan PRU13.

Sabtu ini satu himpunan besar-besaran bagi membantah keputusan pilihan raya akan diadakan Sabtu ini di Petaling Jaya bagi membantah keputusan PRU13.

Dalam pada itu, Wan Ahmad juga meminta supaya rakyat percaya dan meyakini pihak berkuasa untuk melancarkan sistem demokrasi yang telah diamalkan.

"Untuk membenarkan andaian mereka sehingga melakukan perkara di luar batasan undang-undang.

"Yakinlah pada pihak berkuasa negara kita, baru sistem berjalan lancar," katanya.

Tiada ulasan: