Ahad, 12 Mei 2013

Soi Lek tolak desakan letak jawatan segera



 
Presiden MCA Chua Soi Lek hari ini menolak desakan supaya meletak jawatan dengan segera, sambil menegaskan hanya akan berbuat demikian pada masa yang sesuai.

"Saya boleh memahami mereka (yang meminta saya meletak jawatan) sayangkan parti, tetapi ada juga majoriti yang mahu saya kekal.

Beliau memberitahu demikian dalam satu sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Presiden parti itu hari ini.

Chua berkata, pihaknya telah mengadakan perbincangan mengenai perkara ini dan ahli-ahli parti tahu bahawa beliau akan berundur pada masa yang sesuai apabila segala-galanya sudah pada tempatnya.

Chua berkata keutamaan segera beliau sekarang adalah untuk memastikan pemilihan parti tersebut digerakkan dan paling awal boleh dilakukan bulan depan.

"Secara teknikal paling cepat untuk mengadakan pemilihan parti ialah bulan depan, dari cawangan ke peringkat pusat," katanya.

Sebaik sahaja pemilihan parti bermula, beliau berkata, ia akan mengambil masa kira-kira lima bulan untuk selesai di setiap peringkat dan hanya akan berundur dalam tempoh tersebut.

"Saya tidak akan bertanding dalam pemilihan parti kali ini dan apabila pemilihan parti dimulakan pada bulan Jun, ia akan mengambil masa sehingga Disember untuk selesai dan saya akan berundur pada bila-bila masa dalam tempoh ini," katanya.

Tiada ulasan: