Selasa, 14 Mei 2013

Satu pencapaian besar



Oleh ABU FIRDAUS 

PADA tahun 1974, pertama kali Barisan Nasional (BN) masuk pilihan raya, sebaik saja penamaan calon diumumkan banyak calon gabungan parti itu menang tanpa bertanding. Mereka mampu menubuhkan kerajaan semasa penamaan calon lagi.

Ketika itu, tonggak Barisan Nasional adalah dua kerajaan campuran yang ditubuhkan sebelumnya iaitu Perikatan-PAS dan Perikatan-Gerakan.

Dua parti yang enggan menyertai Barisan Nasional ialah DAP dan Parti Sosialis Rakyat Malaya (PSRM). Maka DAP mewakili Cina dan PSRM mewakili Melayu untuk menentang Barisan Nasional, dua-dua kecundang.

PSRM langsung tidak mendapat sebarang kerusi.

Ada juga banyak calon Bebas yang cuba melawan Barisan Nasional yang amat kuat ketika itu. Salah seorangnya ialah Yang Dipertua Kesatuan Pelajar Islam Johor (KPIJ), Pet Ludin di Batu Pahat. KPIJ adalah sekutu ABIM.

Dengan berlambangkan kunci, beliau masuk bertanding di kawasan yang Umno dan Perikatan sentiasa menang. Batu Pahat ialah antara tempat penting dalam sejarah mengasas Umno. Malah parti pengasas Umno, Dato’ Onn Jaafar iaitu Parti Kemerdekaan Malaya dan Parti Negara turut kalah di tangan Umno di Batu Pahat.

Maka sudah tentu pada tahun 1974, Barisan Nasional dengan mudah mengalahkan Pet Ludin.

Kecenderungan calon Bebas ini adalah kepada perjuangan Islam. Beliau sesuai berada dalam PAS. Tetapi PAS ketika itu berada dalam Barisan Nasional.

Barisan Nasional terus menang dalam pilihan raya bagi kawasan Batu Pahat. Tetapi buat pertama kalinya pada tahun 2013, Batu Pahat terlepas daripada tangan Barisan Nasional.

Dari tahun 1974 hingga 2013 itu adalah 39 tahun. Pada tahun 1974, Barisan Nasional diketuai oleh Tun Razak Hussein. Pada tahun 2013, ia diketuai oleh anaknya, Najib Tun Razak.

Pada tahun 1974, calon Barisan Nasional diwakili oleh MCA di Batu Pahat. Pada tahun 2013, calon Barisan Nasional diwakili oleh Umno, seorang Timbalan Menteri Pelajaran yang pernah menyertai PAS semasa mudanya, Puad Zakarshi.

Pada tahun 1974, pemimpin penentang Barisan Nasional yang utama ialah Lim Kit Siang daripada DAP. Pada tahun 2013, pemimpin penentang Barisan Nasional yang utama ialah Anwar Ibrahim daripada Parti Keadilan Rakyat.

Pada tahun 2013, Lim Kit Siang masih aktif dan berjaya mengalahkan bekas Menteri Besar Johor di Gelang Patah, Ghani Othman. Pada tahun 1974, Anwar Ibrahim adalah penentang Barisan Nasional tetapi melalui ABIM.

Pada tahun 1974, ketua parti Melayu utama yang menentang Barisan Nasional ialah Kassim Ahmad daripada PSRM. Pada tahun 2013, Kassim Ahmad sudah berada di pihak Umno. PSRM pula sudah bergabung dengan Parti Keadilan Nasional untuk menjadi Parti Keadilan Rakyat. Walaupun ada ahlinya yang mahu mengekalkan Parti Rakyat Malaysia dan Parti Sosialis Malaysia.

Parti Keadilan Rakyat Batu Pahat yang berjaya mengalahkan Barisan Nasional Batu Pahat pada tahun 2013 diketuai oleh Syed Hamid Ali, saudara kepada Syed Husin Ali. Kedua-dua tokoh PSRM dahulu dan kemudiannya yang menggabungkan parti itu dengan Parti Keadilan Nasional.

Tetapi calon Parti Keadilan Rakyat yang mengalahkan Barisan Nasional itu ialah Idris Jauzi, seorang bekas tokoh ABIM yang rapat dengan Anwar Ibrahim.

Namun, kemenangan beliau ialah kerana dukungan kuat para pengundi yang menyokong gagasan Pakatan Rakyat, baik daripada kalangan PAS mahupun DAP.

Pada keseluruhannya Pakatan Rakyat yang buat pertama kalinya bertanding di Johor sudah menunjukkan tapak-tapaknya. Ketiga-tiga DAP, PAS dan KeADILan mendapat tempatnya. Pada pilihan raya tahun 2004, DAP dan Barisan Alternatif masih bertanding secara berasingan.

Tetapi Barisan Nasional Johor masih kuat. Mereka mampu memerintah negeri. MIC masih dapat mempertahankan kerusi Segamat.

Malah Gerakan yang tinggal satu kerusi di seluruh negara, dapat mempertahankannya di Johor.

Namun, Johor tidak lagi menjadi kubu Umno dan Barisan Nasional. Pemimpin besar Umno terakhir Johor ialah Musa Hitam yang sepatutnya menjadi pengganti Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri.

Akibat perkelahian antara Dr Mahathir dan Musa, maka bukan saja beliau terpinggir daripada politik tetapi juga melahirkan Team B Umno dan Parti Semangat 46 yang secara tidak langsung memulakan penghakisan Barisan Nasional di situ.

Dalam pertikaian itulah buat pertama kali Barisan Nasional dikalahkan oleh calon Bebas yang mewakili Team B Umno iaitu Shahrir Samad di Johor Bahru.

Tetapi penghakisan Barisan Nasional di Johor adalah kecil dalam pentadbiran Dr Mahathir. Yang besar ialah apabila beliau kehilangan Sabah pada tahun 1985, Kelantan pada tahun 1990 dan Terengganu pada tahun 1999.

Dr Mahathir bukan lagi Pengerusi Barisan Nasional semasa gabungan itu kehilangan Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Selangor pada tahun 2008.

Tetapi sumbangannya dalam menentang Abdullah Ahmad Badawi pada pilihan raya itu tidak boleh dinafikan.

Anwar semasa dalam Umno berusaha mereformasikan parti itu. Pasukan Wawasan yang membawanya untuk menjadi Timbalan Presiden Umno membawa tema reformasi ini. Dalam pasukan ini ialah Najib Tun Razak, Muhyiddin Yassin, Muhammad Muhd Taib, Rahim Thamby Chik dan Zaharah Sulaiman.

Tetapi kata-kata Reformasi mula timbul di Johor, dibawa oleh Ghani Othman. Ia kemudian mahu dilanjutkan oleh Zahid Hamidi di perhimpunan agung Umno pada tahun 1997. Anwar Ibrahim mahu menggantikan Dr Mahathir atas wahana Reformasi.

Kini, semua itu tinggal sejarah. Tetapi idea Reformasi yang mahu menjadikan Malaysia sebagai negara bertadbir urus baik terus bergerak, dipikul oleh Pakatan Rakyat.

Barisan Nasional memintas idea itu dengan Najib memperkenalkan program Transformasi. Bagi majoriti pengundi Malaysia, wahana Barisan Nasional itu sudah lapuk.

Sedangkan Pakatan Rakyat memperkenalkan gagasan yang baru. DAP dengan Middle Malaysia dan PAS dengan Negara Berkebajikan. Tetapi kuncinya ialah keinginan rakyat untuk memiliki sebuah negara maju, moden, bebas dan berketrampilan.

Akhirnya rakyat melihat apa yang dilakukan kerajaan pilihan mereka. Pakatan Rakyat mesti menzahirkannya melalui pentadbirannya di Selangor, Pulau Pinang dan Kelantan. Yang lain itu biarlah Barisan Nasional mengambil peluang untuk memperbaiki kesilapannya.

Tiada ulasan: