Sabtu, 11 Mei 2013

Perkasa Tolak Peletakan Jawatan Ibrahim Ali

MSTAR ONLINE
 
KUALA LUMPUR: Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) pada Jumaat sebulat suara menolak peletakan jawatan Datuk Ibrahim Ali sebagai presiden pertubuhan itu.

Sebaliknya, Ahli Dewan Tertinggi (ADT) Perkasa bersetuju melanjutkan tempoh cuti beliau sehingga Persidangan Agung Tahunannya sebelum Disember ini.

Timbalan Presidennya Datuk Abd Rahman Abu Bakar berkata ADT dan semua ahli pertubuhan itu berharap Ibrahim terus memimpin Perkasa bagi meneruskan perjuangan mempertahankan agenda Melayu dan Islam yang semakin mencabar.

"Kami mengharapkan beliau segera kembali meneruskan perjuangan dan kami berdiri teguh di belakang kepimpinannya," katanya pada sidang media selepas mesyuarat ADT di sini.

Pada Selasa lepas, Ibrahim, yang gagal mempertahankan kerusi Parlimen Pasir Mas pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13), Ahad lepas, menyerahkan surat peletakan jawatannya kepada setiausaha agung Perkasa Syed Hassan Syed Ali dengan alasan mahu memberi laluan kepada pemimpin lain menerajui pertubuhan itu.

Dalam pada itu, Abd Rahman berkata Perkasa mengucapkan tahniah kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di atas kejayaan Barisan Nasional (BN) mendapat mandat rakyat dalam PRU13. - BERNAMA

Tiada ulasan: