Rabu, 22 Mei 2013

Pemuda Pakatan desak keras bebaskan Adam Adli, henti politik khianat

Roketkini.com



KUALA LUMPUR: Pemimpin Pemuda Pakatan Rakyat hari ini mendesak agar aktivis mahasiswa Adam Adli dibebaskan daripada tahanan dan menghentikan segala penganiayaan politik terhadap pemimpin dan aktivis pro-rakyat.

Kenyataan bersama Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Ustaz Nasrudin Hassan: Ketua Pemuda Sosialis DAP, Teo Kok Seong dan Ketua Angkatan Muda Keadilan, Shamsul Iskandar Mohd Akin menyatakan bahawa tindakan polis yang menahan Adam Adli tanpa sebab kukuh sebagai tidak menghormati hak rakyat Malaysia yang dijamin perlembagaan.

“Artikel 10 dalam Perlembagaan Persekutuan menjamin hak rakyat Malaysia untuk bersuara, berhimpun serta berpersatuan.

“Seruan beliau tidak melampuai hak yang diperuntukkan di bawah Perlembagaan Persekutuan, tidak berunsur hasutan dan tidak bermotif untuk menjejaskan demokrasi berparlimen kerana kebebasan berhimpun adalah hak yang dijamin mengikut Perlembagaan Persekutuan,” ujar mereka.

Adam Adli pada 13 Mei lalu hanya memberi pandangan yang munasabah dan berpatutan dengan menyeru rakyat Malaysia berhimpun untuk memprotes pilihan raya umum yang kotor pada sambutan Hari Bangsa Malaysia di Dewan Perhimpunan Perniagaan Cina Kuala Lumpur-Selangor.

Justeru itu Pemuda Pakatan Rakyat menyifatkan penahanan Adam Adli menunjukkan kepimpinan Perdana Menteri, Najib Razak hanya bersandiwara untuk melaksanakan transformasi undang-undang dan politik.

“Janji Najib bukan saja tidak ditepati, malah dimungkiri beliau sendiri. Tindakan undang-undang sepatutnya diambil terhadap individu yang membakar sentimen perkauman seperti Ibrahim Ali yang kononnya ingin membakar kitab Injil, Zulkifli Noordin yang mencemuh penganut Hindu atau bekas Hakim Mahkamah Rayuan, Mohd Noor Abdullah yang mengeluarkan hujahan orang Cina akan dibalas dendam,” kata kenyataan bersama itu.

Dalam pada itu, kenyataan itu antara lain menyatakan bahawa BN bertanggungjawab kerana mereka yang sebenarnya menjejaskan demokrasi berparlimen dan bukannya Adam Adli.

“BN menghapuskan nilai demokrasi di negara ini dan terus memerintah tanpa berasa segan dengan sokongan yang tidak melebihi 50 peratus di seluruh Malaysia.

“BN juga menyalahgunakan peraturan mesyuarat Parlimen yang berat sebelah untuk menghalang wakil rakyat Pakatan Rakyat (PR) daripada bersuara demi rakyat. Malah pada 2009, BN merampas kerajaan negeri Perak tanpa menghormati kehendak rakyat Perak dan mengangkat Speaker Perak keluar daripada dewan undangan negeri secara terang-terangan. Semua ini adalah bukti BN merupakan pihak yang menjejaskan Demokrasi Berparlimen negara ini,” kata kenyataan itu.

Justeru itu, seluruh kepimpinan Pemuda Pakatan Rakyat menyeru BN menghentikan segala taktik dan tindakan kotor yang menindas rakyat dan membebaskan Adam Adli yang hanya melaksanakan haknya untuk bersuara.

“Selagi pilihan raya yang bersih dan adil tidak dikembalikan kepada rakyat, maka lebih banyak Adam Adli akan bangkit dan lawan tetap lawan demi negara Malaysia!” menurut kenyataan itu lagi.-Roketkini.com

Tiada ulasan: