Seorang pelakon lelaki terkenal tempatan ditangkap khalwat oleh sepasukan pegawai Bahagian Penguatkuasa Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) di sebuah unit Apartment Taman Sri Subang di Shah Alam semalam.
  
Pelakon berusia 25 tahun itu, yang pernah bertunang pada Disember tahun lepas, ditahan pada jam 3.30 pagi selepas pasukan penguatkuasa mendapat maklumat daripada orang awam.
  
Pengarah Jais Datuk Marzuki Hussin, dalam satu kenyataan hari ini, mengesahkan bahawa pelakon itu, yang sudah bertunang Disember lepas, ditahan Bahagian Penguatkuasaan Jais berdasarkan maklumat awam.
  
"Dia ditahan mengikut Seksyen 29(1) A dan B, Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995," katanya.
  
Pelakon berkenaan sebelum ini pernah dikaitkan mempunyai hubungan cinta dengan wanita yang lebih berusia serta seorang lagi pelakon wanita, namun hubungannya dengan mereka berakhir begitu sahaja.  
- Bernama