Selasa, 21 Mei 2013

Pas sedia bantu polis siasat konspirasi gulingkan kerajaan

MURNI ABDUL RASHID

Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayub
Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayub
 
SHAH ALAM – Pas dan DAP menolak usaha pihak - pihak tertentu termasuklah kumpulan propembangkang yang mahu menggulingkan kerajaan secara kekerasan.

Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayub berkata, parti itu bersedia untuk bekerjasama dengan polis sekiranya diminta membantu dalam siasatan berhubung dakwaan konspirasi menggulingkan kerajaan melalui demonstrasi jalanan.

Menurutnya, Pas mengulangi pendirian bahawa parti itu tidak menyokong mana-mana pihak yang mahu menggunakan kekerasan dalam perjuangan kerana ia boleh menimbulkan
huru-hara dan ketidakstabilan kepada negara.

Katanya, Pas akan terus menegakkan keadilan, tetapi dengan cara demokratik mengikut apa yang termaktub dalam perlembagaan.

“Pas sama sekali menolak pendekatan untuk menggulingkan kerajaan menggunakan kekerasan kerana pendekatan itu amat serius. Malah kita sedia memberikan kerjasama dengan pihak polis.

"Perjuangan dalam Pas tiada keganasan sebab itu kita tolak sekeras-kerasnya,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan pengasas Asal Bukan Umno (ABU) baru-baru ini yang mahu menggulingkan kerajaan Barisan Nasional (BN) menggunakan kekerasan atas alasan proses PRU13 baru-baru ini tidak telus.

Sementara itu, Setiausaha Pengelola DAP, Anthony Loke berkata, parti itu sentiasa mengamalkan cara keamanan dan tidak akan terlibat dan menyokong usaha mencetuskan huru-hara.

Tiada ulasan: