Sabtu, 4 Mei 2013

Nurul Izzah: Simbolik harapan rakyat

SITI NURSYAHIDAH ABU BAKAR
Nurul Izzah: Simbolik harapan rakyat
Nurul Izzah melancarkan kempen 'Malaysian Spring' sebagai sebahagian kempen PRU13.
 
DIFAHAMKAN, pergerakan kumpulan ini adalah atas inisiatif individu-individu yang mahu memeriahkan kempen Pilihan Raya Umum Ke-13, secara sukarela.

Sinar Harian mendapati banyak lokasi telah dipacak dengan bendera-bendera kecil ini, dan gambar-gambar ini boleh dilihat di laman Facebook Malaysian Spring.

Kebanyakannya diletakkan di sekitar Lembah Klang, selain di Kedah, Pulau Pinang, Melaka dan Johor.

 Bagaimanapun, Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar berkata, bendera-bendera kecil dipacak di beberapa lokasi di negara ini tiada kaitan dengan demonstrasi ala 'Arab Spring'.

Beliau berkata, 'Malaysian Spring' sekadar nama yang dipilih sendiri oleh penduduk Bangsar yang mencetuskan idea penanaman bendera tersebut, sejak April lalu.

“Jangan bandingkan Malaysia dengan negara Arab. Negara kita ada demokrasi dan buktinya Pakatan Rakyat (PR) menang di empat negeri dalam pilihan raya lalu.

“Cubaan mengaitkan program ini dengan 'Arab Spring' hanyalah kerja mereka yang takut kehilangan kuasa. Saya juga anggap ini sebagai cubaan untuk menakut-nakutkan rakyat,” katanya yang juga calon bagi kerusi Parlimen Lembah Pantai.

Beliau berkata, penanaman bendera yang berwarna biru, putih, merah, kuning dan oren itu merupakan simbolik harapan penduduk Bangsar untuk masa depan negara yang lebih baik. 

“Sehingga kini anggaran 30,000 bendera telah dipacak di sekitar Lembah Klang serta di Pulau Pinang dan Kedah.

“Saya sendiri telah menghantar surat rasmi kepada DBKL untuk menggunakan bendera ini sebagai sebahagian kempen saya dalam PRU13,” katanya.

Dalam pada itu, beliau melahirkan kekesalannya dengan tindakan sesetengah pihak yang cuba mensabotaj pacakan bendera tersebut.

“Ada unsur sabotaj apabila bendera di bulatan Lake Garden, Bangsar dihalang poster lawan yang lebih besar. Tindakan ini berbahaya kerana turut halang penglihatan pengguna. Saya harap perkara ini tidak berulang kerana kita hanya mahu berkempen secara adil,” katanya.

Sementara itu memetik laporan sebuah portal web, Nurul Izzah melancarkan kempen ‘Malaysian Spring’ dan secara rasmi menjadikan bendera di bulatan di Lucky Garden sebagai sebahagian kempen untuk PRU13.

Bendera yang dipacak sendiri penduduk pelbagai kaum pada 14 April lalu simbolik kepada harapan rakyat Lembah Pantai yang mahukan Malaysia lebih baik tanpa sentimen perkauman dan keganasan.

 Pemilihan bendera biru, putih, merah, kuning dan oren yang memenuhi ruang bulatan itu diambil daripada warna tema Demi Rakyat.

Tiada ulasan: