Sabtu, 4 Mei 2013

Nik Aziz: Hanya sekali minta jadi calon

Mohd Zailani Abd Rahman
Sapinah Abd Ghani
Foto:Khirul Shaleh


Nik Abdul Aziz Nik Mat
Nik Abdul Aziz Nik Mat
 
Mukadimah

“Saya sudah lali dengan cemuhan dan kutukan, semoga mereka membayar kejian itu di akhirat kelak” sambil menghirup segelas air di pejabatnya, Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang ketika itu baru pulang berkempen dari Kuala Lumpur sempat membelek surat khabar di hadapannya.

Sebagai seorang manusia, beliau akui terguris dengan cemuhan bersifat peribadinya terhadapnya, namun beliau menegaskan perjuangan politiknya tidak pernah luntur sehingga ke akhir hayat.

Bagi mendapat gambaran mengenai politik semasa khususnya menjelang pilihan Raya ke 13 (PRU13), ikuti wawancara yang disediakan Ketua Biro Sinar Harian Kelantan, Mohd Zailani Abd Rahman dan wartawan Sapinah Abd Ghani dan Foto Khirul Shaleh diadakan di pejabatnya di Kota Darul Naim Khamis lalu.

Pilihan raya ini dianggap paling sengit antara Pakatan Rakyat dan Barisan Nasional (BN) . Apakah Tok Guru yakin Pas dan Pakatan Rakyat akan merampas Putrajaya dalam PRU kali ini?

NIK AZIZ:
Bila datang pilihan raya, sama ada pilihan raya yang lepas-lepas, sejak 1990, hingga 5 mei ini. Saya sebagai seorang yang diharap, yang diletak sangka baik untuk Islam, saya minta semua rakyat, tak kira Melayu tak kita apa, undi gerakan Islam, dan gerakan Islam di Malaysia ini hanya Pas.

Umno tolak Islam ambil kebangsaan, dia sebut parti gerakan kebangsaan, United Malays National Organization (Umno), Bahasa Inggeris diguna untuk pimpin Melayu, ini satu kesilapan yang dibuat Umno, jadi, alhamdulillah tahun- tahun lepas kita bergerak dengan nama Islam, dan tahun ini jika disebut sengit, panas, itu bermakna gerakan Islam boleh menyaingi.

Orang Cina, India, Alhamdulillah dapat terima cara hidup cara Islam, kebetulan apa yang dilarang Allah berbahaya pada manusia, arak, mana ada orang boleh terima arak untuk kesihatan, judi, maknanya kita serah bulat-bulat pada takdir, rasuah, semua kerja ini memusnahkan harta benda orang lain.

Apa akan berlaku sekiranya Pas akan tewas dalam  PRU kali ini?

NIK AZIZ:
Tak payah sebut tewaslah. Pas susah nak tewas kecuali penyokong Pas selama ini diugut atau diberi duit, dengan cara tak betul. Kalau menang wakil rakyat yang tidak perjuangkan Islam dengan cara tak betul, ugut, dengan upah, apa semua sekali, dengan pengundi hantu ke, maknanya kehidupannya lima tahun kemudian adalah menggunakan duit haram. Duit haram ini kesannya di akhirat.

Terdapat banyak kritikan termasuk dari Perdana Menteri sendiri yang menyifatkan Tok Guru sudah lama memimpin dan perlu bersara?

NIK AZIZ:
Orang (parti) pilih saya. Saya tak pernah jadi( minta) pengerusi dalam mesyuarat. Orang yang pilih, ertinya orang letak sangka baik pada kita, sangka baik ini bukan boleh dibeli. Jadi bila kita tolak sangkaan baik orang ertinya kita tidak hargai penghormatan orang.

Selepas ini kita  tengok la keadaan, yang sudah lepas, memang saya sendiri tak nak( jadi Menteri Besar dan Mursyidul Am ), bahkan seumur hidup saya, hanya sekali saya minta untuk menjadi calon, calon sahaja, bukan menteri besar.

Ketika itu, Allahyarham Bakar Hamzah( pemimpin Pas) ada lagi, saya minta bantuan beliau untuk membantu saya, sebab apabila kita bercakap dengan nama calon ini, dia ada nilai tersendiri.

Ia berlaku sebelum Pas sertai Barisan Nasional (BN), ketika itu kalut, Tun Razak (Hussein) minta kita serta BN, orang Pas ketika itu berpecah kepada empat, ketika itulah saya minta menjadi calon, tujuan ialah untuk bercakap sebagai Yang Berhormat, selepas itu saya tak pernah minta untuk menjadi calon, tapi apabila parti mencalonkan saya, saya terima.

Sebenarnya jawatan paling berat bagi saya, bukan MB, tapi Mursyidul Am. Ini cukup berat bagi saya. Mursyidul Am maknanya, pimpinan bagi seorang mursyid mesti seperti gambaran bagi Rasulullah SAW, tutur kata , tingkah laku, makan dan sebagainya, maknanya kalau orang nak tengok Nabi Muhammad tengok pada mursyid.

Bagaimana dengan jawatan Menteri Besar sekarang, sekiranya Pas Kelantan menanglah, sudahkah perkara ini dibincangkan, sama ada Tok Guru kekal sebagai MB atau ada nama lain.

NIK AZIZ:
Yang akan datang saya tak suka sebut, tapi maknanya saya minta semua rakyat Kelantan Undi Pas, hatta Umno sendiri pun saya minta undi Pakatan Rakyat.
Di mana calon Pas ada, undi Pas, calon PKR ada, undi calon PKR.

Adakah Tok Guru sudah mempunyai nama-nama untuk pengganti?

NIK AZIZ:
Saya tak suka sebut benda akan datang, suka sebut dasar..dasar..dasar. Akan datang tu nanti akan datang la. Dalam parti memang ada timbalan, parti mana- mana pun. Ada naib, dan dewan harian, orang inilah kita latih..tapi nama kita tak boleh sebut, memang ada (nama bakal Menteri Besar).

Suatu ketika dahulu Tok Guru penah mendesak bekas Perdana Menteri, Tun Dr  Mahathir berundur dan sekarang beliau telah berundur, tetapi Tok Guru masih belum berundur?

NIK AZIZ:
Saya pun tak ingat bagaimana saya sebut. (Tun) Dr Mahathir suruh saya letak jawatan, atas alasan tua. Dia tua dari saya, lepas dia letak saya tanya balik, siapa suruh dia letak jawatan.

Tok Guru merupakan pemimpin yang dilihat lantang mengkritik Umno, sehingga ada dakwaan Tok Guru  masih lagi berdendam ketika Pas dibuang  Umno satu ketika dulu.

NIK AZIZ:
Saya tidak berdendam, saya menerangkan kebenaran mengikut keadaan, kalau nampak kesalahan itu kuat, kita kuatkan sikit serangannya. Dalam al- Quran kita dapati perkataan al- Quran itu mengikut perkembangan semasa. Ia tidak serupa dalam al- Quran ini, tanda seseorang itu pandai berhujah. Dan al- Quran mengajar kita lawan balik orang yang buat karut.

Saya tak ada dendam. Dendam kerana apa. Dipecat dari Umno bukan dendam tapi kesilapan dia, dalilnya selepas Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU12) dia minta (perpaduan) balik.

Dia minta supaya Pas sokong balik, ertinya apa yang kamu buat sebelum ni salah. Nabi Muhammad ajar tak boleh kita masukkan jari dalam lubang dua kali, kita masukkan sekali dulu disengat.

Kita masuk BN dulu atas dasar Tun Razak minta kita, saya antara orang yang kuat menyokong, bila kita bersama dalam BN dan dan orang Umno pun terasa kebaikan gerakan Islam yang dibawa Pas, maka mereka mulai jinak dengan kita, itu sebab mereka marah dan tendang kita. Bukan salah kita, salah dia. Nak panggil tamak ke, dengki ke, dia punya fasal.

Selama 20 tahun di Kelantan, terdapat kelemahan dalam pentadbiran, terdapat rungutan terdapat kawasan negeri yang masih kotor selain terdapat kadar jenayah masih tinggi masih berlaku, apa masalah besar Tok Guru dalam menyelesaikan masalah ini?

NIK AZIZ:
Betul... tak ada kerajaan atas dunia ini yang tak ada kelemahan. Kelemahan itu perlukan teguran, teguran datangnya dari mesyuarat.

Di Malaysia tak ada ruang bagi kita nak tegur rakyat secara terbuka, surat khabar tidak diberi, lesen surat khabar tidak diberi, ini kejahatan Umno, demokrasi tidak, radio tidak diberi, nasib baik sekarang orang sains buat Internet yang menyebabkan payah Umno nak sekat.

Ini menyekat komunikasi kepada rakyat satu kecelakaan kepada manusia, baik di mana- mana sekali pun, kenapa tidak diberikan ruang komunikasi kepada pembangkang, sedangkan pembangkang ini pun juzuk komunikasi, mana ada demokrasi tak ada pembangkang, bahkan dalam pengajian kita di universiti, kalau atak ada pembangkang pun, misalnya kita semua penentang 100 peratus, maka pembangkang perlu dilantik dalam kalangan mereka.

Sekiranya Pakatan Rakyat menang dalam PRU, bagaimana dengan calon Perdana Menteri?

NIK AZIZ:
TOK GURU: Itu bukan kerja saya, itu serah pada pimpinan Pakatan Rakyat pusat.

Apa kriteria individu yang dikehendaki memimpin negara?

NIK AZIZ:
Kita nak tengok orang Islam yang berperangai baik.

Adakah Pas akan menyokong  Datuk Seri Anwar Ibrahim  menjadi Perdana Menteri?

NIK AZIZ:
Tak boleh sebut nama, saya tak suka sebut nama. Anwar ini difitnah bermacam-macam, kenapa, bawa ke mahkamah, mahkamah lepas, ini kejahatan yang dibuat orang Umno.

Siar dalam akhbar, bermacam-macam tuduhan, bendanya tak ada, berdosa. Banyak mana orang tuduh peribadi orang, dengan ambo (saya) sekalipun pun, selagi tak minta maaf, akhirat esok mustahil masuk syurga.

Terpaksa orang ambil pahala orang itu bagi pada Anwar dan kalu tak cukup lagi, ambil dosa Anwar bagi pada orang berkenaan.

Bagaimana kes video seks yang didakwa dilakukan Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustapa Ali.

NIK AZIZ:
Bukan saja Mustafa Ali, saya sendiri pun kena macam-macam. Di Kelantan ini saya lantik Saiful Bahri (individu yang dituduh dilakukan maksiat) di Dun Selising saya nak musnahkan gelombang fitnah ke atasnya, insya-ALLAH dia akan berjaya, itu usaha saya untuk membersihkan orang yang dituduh.


Isu hudud menjadi polemik berpanjangan antara Pas dan DAP? Adakah hudud masih lagi menjadi agenda besar Pas selepas PRU

NIK AZIZ: T
ak payah (komen) la hudud. Betapa hebatnya kesan hudud ini, belum pada hudud orang dah takut apatah lagi selepas pelaksanaannya nanti. Kalau nak sebut lagi, hudud tak mati orang.

Tapi kenapa di Malaysia ini orang tak sibuk tentang hukuman mati sedangkan banyak kesalahan melibatkan hukuman mati. Sedangkan beratus orang dihukum mati kerana senjata, dadah.

Mana yang lebih kejam antara hudud dan hukuman mati. Bila orang itu dihukum mati, mak kehilangan anak, isteri kehilangan suami, anak- anak kehilangan bapa. Sedangkan kalau hudud, ibu tidak kehilangan anak, cuma tangan sahaja tidak ada.


Tok Guru merupakan individu yang lantang menolak kerajaan perpaduan, kemungkinan isu akan timbul lagi selepas PRU ini?

NIK AZIZ:
Kalau orang tanya saya, kalau Umno nak masuk dalam kerajaan saya rasa baik umno ubah dasar dia, daripada kebangsaan kepada Islam, kenapa Umno tolak Islam, lebih daripada usaha kita supaya menyertai dia. Lebih baik dia ubah dasar dia dari kebangsaan kepada Islam. Ini kesilapan Melayu Umno.

Tiada ulasan: