Jumaat, 17 Mei 2013

Raja Kamarul : PRU-13 Tsunami Nilai Bukan Politik Bangsa


Kamarul Bahrin

SHAH ALAM  : Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) bukanlah tsunami politik bangsa tetapi perubahan pengundi yang lebih memilih kepada perjuangan sistem nilai demokrasi.

Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Raja Datuk Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad berkata masyarakat kini tanpa mengira bangsa bangkit dengan memperjuangkan nilai menentang rasuah dan ketidakadilan yang berlaku.

“PAS banyak menang di kawasan yang banyak institusi pendidikan dan bukan kepada sentimen bangsa, di Terengganu banyak isu berkenaan pengabaian hak orang Melayu.

“Kini masyarakat semakin sedar dengan soal kebergantungan kepada pihak kerajaan dan kerajaan (Umno-BN) amat suka orang Felda bergantung harap, kerajaan tidak ingin mereka berdikari dan merdeka daripada mencari nafkah atas usaha sendiri,” kata Raja Kamarul.

Beliau berkata demikian ketika menjadi panel Wacana Sinar Siri ke-20 yang berjudul Pasca PRU13: Ke Mana Haluan Politik Melayu, di sini.

Dalam pada itu Kamarul turut mempersoalkan sikap kerajaan pimpinan Umno-BN yang didakwa gagal dalam menangani isu professional Melayu apabila tidak menghargai peranan mereka dalam membangunkan negara.

Kata Raja Kamarul, beliau mengambil contoh mantan Presiden dan Ketua Eksekutif Petronas Tan Sri Mohd Hassan Marican yang kini diambil bekerja oleh syarikat asing di Singapura.

“Orang-orang yang amanah tidak dapat memberikan sumbangan kepada kerajaan dan tiada tempat , seorang Melayu lebih dipercayai oleh negara di Singapura dan Amerika Syarikat,” kata beliau.

Wacana ini turut mengetengahkan ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Saifuddin Abdullah dan Ahli Parlimen Bukit Bendera, Zairil Khir Johari.

Program ini dikendalikan oleh Pensyarah Fakulti Pentadbiran dan Pengajian Polisi Universiti Teknologi Mara, Prof Madya Dr Shaharuddin Badaruddin yang dihadiri kira-kira 500 orang.

Tiada ulasan: