Ahad, 26 Mei 2013

Libatkan ahli parti dalam GLC - Iskandar

Harakahdaily,


SHAH ALAM: Adun PAS bersetuju agar ahli-ahli parti Pakatan Rakyat dilibatkan di dalam anak syarikat kerajaan negeri (GLC) negeri Selangor mulai penggal ini.

Adun Chempaka, Iskandar Samad (gambar) berkata, beliau bersetuju dengan pandangan Ketua Penerangan PKR Selangor, Shuhaimi Shafie, sebelum ini yang mencadangkan agar ahli-ahli parti Pakatan Rakyat dilibatkan dalam GLC>

"Di Selangor kita telah masuk penggal kedua, ramai ahli-ahli parti telah terdedah kepada perjalanan dan pentadbiran kerajaan negeri maka telah tiba masanya mereka diberi peluang terlibat di dalam GLC," kata Iskandar yang sebelum ini adalah Exco Selangor.

Pada penggal pertama, terdapat GLC-GLC yang tidak mempunyai ahli parti kecuali Menteri Besar, kata Iskandar.

Mungkin keadaan sedemikian sesuai pada penggal pertama tetapi untuk penggal kedua satu 'tajdid' atau pembaharuan perlu dilakukan, tambahnya.

Dengan penglibatan ahli-ahli parti, halatuju atau perjalanan sebuah GLC dapat dipastikan selari dengan tujuan dan aspirasi Pakatan Rakyat.

"Tidak mungkin satu 'tajdid' dapat dilakukan tanpa penglibatan ahli-ahli parti," katanya yang juga Yang Dipertua PAS kawasan Pandan.

Penglibatan mereka juga dapat mengelakkan mana-mana GLC telah tersasar dari tujuannya atau dituduh tidak membantu kerajaan negeri mencapai matlamat-matlamatnya.

Bagi beliau, pada penggal kedua ini, harapan rakyat sudah tentu lebih besar maka peranan GLC-GLC adalah begitu penting.

Walau bagaimanapun mereka yang dilantik mestilah mempunyai kelayakan dan pengalaman yang berkaitan, tegasnya.

Memandangkan jumlah kerusi Dewan Negeri parti-parti Pakatan Rakyat adalah hampir sama maka bilangan ahli-ahli parti di GLC-GLC mestilah adil, cadang beliau.

Tiada ulasan: