Ahad, 19 Mei 2013

Koo Ham: Saya tidak hina sultan

Wartawan Sinar Harian

Datuk Ngeh Koo Ham
Datuk Ngeh Koo Ham
 
IPOH - “Saya tujukan pada MCA, bukan mahu pertikai institusi diraja.”

Itu reaksi  Ahli Parlimen Beruas, Datuk Ngeh Koo Ham ketika mengulas isu kenyataan kontroversinya dalam laman sosial yang disifatkan menghina institusi diraja oleh sesetengah pihak.

Pengerusi DAP Perak itu berkata, kenyataan beliau tidak berniat untuk mempertikaikan institusi diraja di Malaysia.

“Dalam twitter jelas menunjukkan saya langsung tidak mempertikaikan institusi diraja. Kita (Pakatan Rakyat) menerima institusi diraja dan tidak akan persoalkan kedaulatan mereka,” jelasnya.

Koo Ham berkata, sasaran kenyataan jelas kepada MCA kerana parti itu dilihat seperti tidak mampu buat keputusan dengan sendiri.

“Isu politik tidak ada kena mengena dengan Sultan. Ini keputusan parti politik, jadi MCA harus tentukan sendiri keputusan mereka.

“Biar parti buat keputusan dan selepas sudah ada keputusan, mereka perlu tanggung kesan dari keputusan mereka,” katanya.

Beliau juga menggesa agar kenyataannya tidak diputar belit oleh mana-mana pihak.

“Saya mohon jangan putar belit isu ini sebab sasaran saya adalah MCA.

“Saya hormat institusi diraja kerana mereka ada peranan mereka yang tersendiri seperti yang tertulis dalam perlembagaan,” ujarnya.

Tiada ulasan: