Rabu, 29 Mei 2013

Kerjasama UMNO-PAS: Syed Ali Nasihatkan Nik Aziz Jangan Angkuh, Sombong

Kerjasama UMNO-PAS: Syed Ali Nasihatkan Nik Aziz Jangan Angkuh, SombongMALAYSIA CHRONICLE

Ketua Umno Bahagian Cheras Datuk Seri Syed Ali Alhabshee menasihatkan Musyidul Am PAS, Datuk Nik Aziz Nik Mat supaya jangan bersikap angkuh dan sombong dengan menolak sebarang usaha kearah penyatuan semula UMNO dan PAS.

Beliau menegaskan, Nik Aziz sepatutnya tidak mencerminkan dirinya sebagai orang tua yang terlalu bongkak sehingga menolak sebarang pandangan pihak lain.

"Walaupun setakat ini belum ada tanda-tanda kearah kerjasama UMNO-PAS, tetapi jika usaha itu mendatangkan kebaikan kepada orang Melayu sewajarnya pandangan berkenaan dihormati," tegas Syed Ali dalam laman blog www.umnobahagiancheras.blogspot.com.

Beliau berkata, bekas Menteri Besar Kelantan itu tidak sepatutnya terus melenting apabila ada pihak mengajukan cadangan tersebut kepada beliau.

"Nik Aziz dilebelkan sebagai seorang ulama, tetapi perlakuannya dilihat jauh tersasar daripada ciri-ciri tokoh agama, yang sepatutnya mendengar dan meneliti secara berhemah," ujarnya.

Syed Ali mengulas kenyataan Nik Aziz yang disiarkan dalam portal berita rasmi PAS, harakahdaily yang menyebut bahawa beliau tidak akan membenarkan sebarang usaha ke arah penyatuan PAS dan UMNO selagi beliau masih hidup.

Nik Aziz dipetik sebagai berkata, PAS adalah milik semua ahlinya dan sebarang tindakan atau keputusan yang dibuat perlu mendapat persetujuan daripada semua ahli khususnya melalui muktamar.

Saya tidak bagi, selagi saya masih hidup saya tidak akan benarkan usaha untuk menjalin kerjasama PAS dan UMNO dilakukan, menurut Nik Aziz.

Menurut Syed Ali lagi, pendirian Nik Aziz itu yang bersandarkan kepada kepentingan politik hanya merugikan seluruh orang Melayu dan umat Islam di negara ini.

Beliau kesal kerana Mursyidul Am PAS itu terlalu mementingkan agenda politik daripada melihat penyatuan semula kedua-dua parti tersebut yang mewakili sebahagian besar orang Melayu dan umat Islam.

"Dia amat fobia apabila ditanya mengenai kerjasama PAS-UMNO, seolah-olah begitu takut melihat orang Islam kembali bersatu," ujarnya.

Mengenai dakwaan UMNO menolak Islam seperti berulang kali ditegaskan oleh Nik Aziz, beliau berkata dakwaan tersebut hanya provokasi dan bermotifkan politik.

"Nik Aziz tuduh UMNO tolak Islam, tetapi PAS sanggup pula bersekongkol dan menjadi kuda tunggangan DAP," tegasnya.

Dalam perkembangan berkaitan, Syed Ali menegaskan UMNO tidak terlalu terdesak sehingga terpaksa merayu kepada PAS untuk berkerjasama.

"Selama ini UMNO mampu mempertahankan survival politiknya sehingga mampu membetuk sebuah kerajaan yang disenangi rakyat," jelasnya.

Bagaimanapun kata beliau, UMNO melihat kepada kepentingan masa depan orang Melayu dan umat Islam yang harus dipertahankan.

"Oleh sebab itu, ada pandangan yang berpendapat, adalah lebih molek jika UMNO-PAS bersatu demi kepentingan Melayu, bukannya kerana agenda politik individu atau pihak tertentu," tegasnya.

Dalam hal ini Syed Ali berkata, adalah lebih baik Nik Aziz mendapatkan pandangan dan nasihat daripada pemimpin PAS yang berfikiran rasional sebelum mengeluarkan kenyataan yang bersifat sombong dan angkuh.- BERNAMA

Tiada ulasan: