Selasa, 14 Mei 2013

Karpal : DAP akan beri kerjasama penuh kepada RoS

SINAR HARIAN

Karpal Singh 
Karpal Singh
 
KUALA LUMPUR - DAP akan memberi kerjasama penuh kepada Pendaftar Pertubuhan (RoS) bagi membantu siasatan mengenai pemilihan jawatankuasa kerja pusat (CEC) parti itu tahun lalu.
 
Pengerusinya, Karpal Singh dalam satu kenyataan di sini hari ini, juga berharap isu CEC itu dapat diselesaikan secepat mungkin.
 
Beliau mengulas kenyataan Ketua Pengarah RoS, Datuk Abdul Rahman Othman yang disiar sebuah akhbar berbahasa Inggeris semalam, bahawa agensi itu mahu penjelasan penuh daripada DAP berhubung dakwaan penyelewengan dalam pemilihan CEC, memandangkan Pilihan Raya Umum (PRU13) sudah berakhir.
 
Abdul Rahman berkata sebelum ini, mereka yang dipanggil memberi keterangan tidak dapat hadir kerana terbabit PRU13 dan agensi itu setakat ini sudah merekodkan keterangan daripada lapan orang iaitu enam pengadu dan dua pemimpin parti termasuk Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.
 
Karpal juga mengalu-alukan kenyataan Abdul Rahman bahawa RoS tidak berhasrat membatalkan pendaftaran DAP seperti yang didakwa sesetengah pihak.  

Pada 4 Jan lalu, Guan Eng mendedahkan terdapat kesilapan dalam pengiraan undi pada pemilihan parti yang berlangsung 15 Disember lepas, yang berlaku ketika keputusan dipindahkan ke komputer menggunakan program Microsoft Excel.
 
Pindaan keputusan menyaksikan Setiausaha Politik Guan Eng, Zairil Khir Johari yang sebelum itu menduduki tempat ke-39 naik ke tangga ke-20, yang merupakan posisi terakhir dalam CEC menerusi pemilihan.
 
Pengiraan semula menyaksikan Zairil memperoleh 803 undi berbanding 305 yang diumum sebelum itu.
 
Sementara itu, Vincent Wu yang pada mulanya menduduki tangga keenam dengan 1,202 undi jatuh ke tangga ke-26, kerana beliau dikatakan hanya memperoleh 669 undi.
 
Anggota parti yang tidak berpuas hati kemudian membuat aduan kepada RoS mendakwa keputusan itu telah dimanipulasi. - Bernama

Tiada ulasan: