Sabtu, 25 Mei 2013

Jangan jadi parti ‘lembu dicucuk hidung’

 
PKR perlu menguasai dua elemen penting dalam merancang politik peperangan; iaitu persepsi dan sumber, kata Timbalan Presiden PKR Azmin Ali

 

Kongres PKR ke-9

PETALING JAYA: Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali mengingatkan parti itu supaya tidak menjadi sebuah parti bagai ‘lembu dicucuk hidung’ (lame duck) jika mahu terus kekal relevan dengan aspirasi rakyat.

Azmin yang juga Ahli Parlimen Gombak dan Ahli Dewan Undangan Negeri Bukit Antarabangsa berkata, PKR perlu menguasai dua elemen penting dalam merancang politik peperangan; iaitu persepsi dan sumber.

“Dalam perang politik, kita perlu membina dan mengurus persepsi rakyat melalui manifesto dan komunikasi politik. Tetapi semua ini akan menjadi ‘lame duck’ sekiranya kita tidak mempunyai sumber.

Apakah kita mahu KEADILAN menjadi ‘lame duck political party,” soalnya dalam ucapan Perasmian Kongres PKR ke-9 di Dewan Sivik Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) di sini petang tadi.

Katanya, bagi memastikan PKR perlu mengukuhkan organisasi, menggilap idealisme dan perjuangannya supaya mendapat sokongan berterusan daripada rakyat.

Istilah ‘lame duck’ sebelum ini pernah digunakan Azmin membidas isu perebutan jawatan Menteri Besar Selangor sebelum Majlis Pakatan Rakyat akhirnya memutuskan Tan Sri Khalid Ibrahim sebagai calon paling sesuai menerajui negeri itu.

Walaupun ucapannya tidak ditujukan kepada mana-mana pihak, Azmin berkata seorang Menteri Besar perlulah berkaliber dan kuat mewakili parti sendiri dan Pakatan Rakyat di Selangor.

“Saya tidak mahu itik tempang menjadi Menteri Besar. Ini kerana kita memperoleh mandat sangat kukuh daripada rakyat (Selangor), pencapaian terbaik kita di Selangor.

“Kita mendapat 44 kerusi berbanding 12 dimenangi Barisan Nasional (BN) maka sudah tentu rakyat mengharapkan kepimpinan yang kuat di Selangor,” katanya dipetik laporan media 10 Mei lalu.

Kerjasama

Sementara itu, Azmin dalam ucapan Kongres turut mengingatkan pemimpin parti dalam Pakatan supaya terus bekerjasama dan menghentikan sebarang salah faham sesama sendiri.

“Keyakinan rakyat masih utuh bahawa Pakatan Rakyat mampu melakar perubahan kerana itu pimpinan Pakatan Rakyat tidak boleh melakukan kesilapan kerana ia mengkhianati cita-cita rakyat.

“Etika tahaluf siyasi (kerjasama) menuntut ketuntasan di kalangan pimpinan tertinggi Pakatan Rakyat,” katanya.

Selain itu, beliau turut memberi cadangan supaya polarisasi kaum dihapuskan agar perpaduan nasional dapat diwujudkan.

“Permulaannya adalah dengan mewujudkan muafakat nasional untuk menghapuskan dasar yang berasaskan kaum dan menggantikannya dengan dasar yang berasaskan keperluan.

“Jika tidak ada sesiapa yang merasa dia terpinggir oleh sebab latar belakang etnik, maka keperluan untuk identifikasi kaum secara semula jadi akan terhapus,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam responnya terhadap Barisan Nasional (BN) mengatakan berlakunya ‘tsunami Cina’ semasa Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) 5 Mei lalu.

Turut hadir Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar, Setiausaha Agung PKR Datuk Saifuddin Nasution, Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Shamsul Iskandar Mohd Akin, Ketua Wanita PKR Zuraida Kamaruddin, serta ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR Datuk Seri Chua Jui Meng.

Tiada ulasan: