Selasa, 14 Mei 2013

Jais : Ummu Jah, 9 pengikut langgar arahan mufti

SINAR HARIAN

SHAH ALAM - Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) menahan Hatijah Aam atau 'Ummu Jah', balu kepada pengasas pertubuhan yang diharamkan Al-Arqam, Ashaari Muhammad, kerana melanggar arahan mufti.
  
Pengarah Jais, Datuk Marzuki Hussin berkata Hatijah ditahan bersama tiga pengikutnya sejurus tiba dari Arab Saudi, di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang pada pukul 11.40 pagi.
  
Jais turut menahan enam lagi pengikutnya yang tiba di KLIA pada pukul 1.30 petang hari ini dan kesemua mereka telah dibawa ke pejabat Jais di sini, katanya dalam kenyataan.
  
Menurut Marzuki, kesemua mereka yang terdiri daripada dua lelaki dan lapan wanita dihantar pulang oleh Arab Saudi susulan 'Program Pemutihan' yang dilaksana kerajaan itu.
  
Katanya operasi menahan kumpulan Hatijah atau Ops KLIA itu bermula 9 April lepas dan berjalan secara berperingkat mengikut jadual ketibaan mereka berdasarkan maklumat penghantaran pulang daripada Kedutaan Malaysia di sana.
  
"Kesemua mereka yang ditahan akan disiasat di bawah Seksyen 12C, Enakmen Jenayah Syariah 1995, melanggar Arahan Mufti dan jika sabit kesalahan boleh dijatuhkan hukuman (denda) RM3,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali," katanya.
  
Difahamkan tujuh wanita dan dua lelaki yang ditahan hari ini telah dibebaskan dengan bon jaminan Jais  manakala Hatijah pula dibebaskan dengan dua penjamin oleh Mahkamah Rendah Syariah Sepang, hari ini. - Bernama

Tiada ulasan: