Jumaat, 24 Mei 2013

GST hadiah PRU13 BN kepada rakyat


Oleh AZIZ MUDA

KUALA LUMPUR: Kerajaan prihatin pimpinan Dato’ Seri Najib Tun Razak akan memberikan “hadiah” PRU13 kepada seluruh rakyat berupa pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) ekoran Umno-BN yang diisytihar menang pilihan raya dan membentuk Kerajaan Persekutuan, 5 Mei lalu.

Bekas Timbalan Gabenor Bank Negara, Dr Rosli Yaakob berkata, kira-kira 32 peratus daripada jumlah isi rumah (household) di Malaysia berpendapatan di bawah RM2,000 sebulan yang tidak membayar cukai pendapatan, akan menjadi pembayar cukai apabila GST dilaksanakan.

“Mereka membayar cukai atas semua barang di bawah GST seperti pakaian, permainan kanak-kanak, makanan yang diproses, makanan dalam tin dan sebagainya.

“Ini bermakna, golongan berpendapatan rendah dan golongan yang economically vulnerable dalam masyarakat terpaksa menanggung beban cukai,” katanya.

Beliau berkata, ahli-ahli ekonomi dan pencukaian mengakui GST sistem pencukaian yang regressive iaitu satu sistem yang tidak adil kerana semakin rendah pendapatan seseorang semakin besarlah bahagian pendapatannya yang digunakan untuk membayar cukai, atau sebaliknya.

Katanya, semakin tinggi pendapatan seseorang maka semakin kecilah bahagian daripada pendapatannya yang pergi kepada membayar cukai.

Rosli mendakwa, GST membebankan golongan berpendapatan rendah dan miskin dalam masyarakat dan ini amat bertentangan dengan ciri sistem pencukaian yang adil.

Kumpulan Kewangan Antarabangsa (IMF), dedahnya, mahu semua negara di dunia melaksanakan GST dengan alasan supaya sistem pencukaian menjadi seragam di seluruh dunia, tetapi hakikatnya, ia bermotifkan untuk mengekalkan penguasaan blok Barat ke atas ekonomi dunia.

IMF sudah menggesa Malaysia supaya segera melaksanakan GST dan kerajaan sudah bersedia untuk tunduk kepada gesaan itu seawal tahun 2005 lagi.

Ketika membentang Belanjawan 2005, Menteri Kewangan mengumumkan GST bakal dilaksanakan di Malaysia berkuatkuasa 1 Januari 2007, menggantikan cukai jualan dan perkhidmatan yang sedia ada, tetapi berikutan penentangan kuat rakyat, pada 22 Februari 2006, kerajaan mengumumkan penangguhan, ujarnya.

Selepas lebih tiga tahun dibekukan, tambah beliau lagi, kerajaan menghidupkan semula rancangan untuk melaksanakan GST, apabila pada Disember 2009, bil GST dibentangkan untuk bacaan kali pertama di Parlimen diikuti bacaan kali kedua pada April 2010.

Rosli berkata, kemenangan BN dalam PRU13 yang baru lalu, menguatkan tekad mereka untuk melaksanakan GST pada kadar segera.

Perkara ini telah dibayangkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Dato’ Seri Idris Jala seperti yang dilaporkan Business Times, 18 Mei 2013.

Malaysia kata Idris mampu memperolehi pendapatan mencecah sehingga RM27 bilion, jika GST dilaksanakan pada kadar 7 peratus, iaitu 3 peratus lebih tinggi daripada kadar yang pernah disebut sebelum ini.

Kata Rosli lagi, di bawah kerajaan yang korup, manfaat GST tidak membawa apa-apa makna kepada rakyat terbanyak.

Beliau tetap berpendapat GST adalah cukai yang menzalimi rakyat berpendapatan rendah dan miskin dan yang akan untung besar adalah orang kaya dan syarikat multinasional kerana cukai korporat dan cukai pendapatan direndahkan.

Tiada ulasan: