Khamis, 30 Mei 2013

Exco S'gor isytihar harta sebelum sidang DUN

 


 
Exco kerajaan Selangor ditetapkan supaya mengisytiharkan harta sebelum sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) bermula, kata Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim. 

Selain itu, beliau juga berkata, setiap penambahan aset ketika seseorang exco itu bertugas juga perlu diisytiharkan. 

NONE"Boleh (isytihar harta). Tahun lepas kita sudah ada apa yang dikatakan sebagai pengisytiharan yang mana kita akan teruskan cara yang telah kita buat dahulu. Jadi setiap penambahan aset semasa exco itu bertugas juga akan dilaporkan. 

"(Ia) Termasuk exco yang lama. Exco lama dan baru," katanya dalam sidang media selepas upacara Istiadat  Angkat Sumpah Jawatan Dan Aku Janji Ahli Majlis di Istana Alam Shah, Klang hari ini. 

Pada 21 Mei lalu, Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyarankan semua wakil rakyat di Parlimen dan Dewan Undangan Negeri supaya mengisytihar aset bagi setiap tiga tahun, "bagi memastikan integriti pentadbiran kerajaan".

Pengerusi panel itu, Datuk Johan Jaafar berkata cadangan itu bagi memperkukuhkan komitmen mereka memerangi rasuah, sekaligus mengatasi keraguan tentang aset mereka dalam tempoh menjadi wakil rakyat.
Sementara itu, dalam sidang media sama, Khalid juga memberitahu, upacara angkat sumpah bagi Speaker dan Timbalan Speaker serta Ahli DUN akan diadakan pada 21 Jun depan. 
Menurut Khalid lagi, pada 28 Jun pula, sidang DUN negeri yang pertama bagi penggal ini akan diadakan. 

Katanya, bagi sidang pertama itu, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah akan merasmikan persidangan tersebut.

Tiada ulasan: