Ahad, 12 Mei 2013

DAP tubuh JK parlimen kaji isu persempadanan semula



 
DAP akan menubuhkan jawatankuasa parlimen untuk mengkaji isu-isu mengenai persempadanan semula kawasan pilihan raya yang akan dilaksanakan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang mengumumkan dalam satu sidang akhbar hari ini bahawa jawatankuasa itu akan diketuai oleh strategis pilihan raya parti itu, Ong Kian Ming.

 "(Jawatankuasa itu akan) mengkaji persempadanan semula kawasan pilihan raya dan membuat cadangan untuk memastikan prinsip 'satu orang, satu undi, satu nilai'  dalam persempadanan semula ini.

"Kita tidak mahu situasi di mana kerajaan mendapat 47 peratus sokongan popular manakala pakatan pembangkang mendapat 51 peratus, yang mana benar-benar tidak demokratik dan tidak adil," katanya, merujuk kepada keputusan pilihan raya umum minggu lepas.

Pilihan raya itu menandakan buat kali pertama BN kehilangan undi popular, tetapi ironinya mengekalkan kuasa dengan memenangi 133 kerusi Parlimen berbanding Pakatan Rakyat 89.

Perbezaan antara undi popular dan kerusi yang dimenangi telah dipersalahkan atas jumlah pengundi yang tidak sama rata dan amalan persempadanan semula kawasan pilihanraya.

Lim berkata proses persempadanan semula itu mungkin menyaksikan peningkatan bilangan kawasan pilihan raya kerana jumlah pengundi telah meningkat.

Bagaimanapun, perubahan bilangan kawasan pilihan raya akan memerlukan sokongan dua pertiga di Dewan Rakyat, maka SPR perlu melibatkan Pakatan dalam perkara itu.

Menjawab soalan, Lim berkata perbezaan antara penduduk kawasan pilihan raya terbesar dan terkecil idealnya harus kurang daripada 50 peratus, untuk mengambil kira penduduk yang jarang di kawasan luar bandar.

Tiada ulasan: