Khamis, 2 Mei 2013

Dalam usaha menawan Putrajaya, PAS gesa anak perantau pulang pertahan Kelantan

Oleh Md Izwan dan Zurairi AR

 Nik Aziz serta pemimpin-pemimpin yang lain melancarkan 'Jom PAKAT kelik ngundi' di Kuala Lumpur, 1 Mei, 2013. – Gambar oleh Choo Choy May KUALA LUMPUR— Dalam keghairahan berkempen menawan Putrajaya, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menggesa anak perantau Kelantan di Kuala Lumpur supaya mempertahankan negeri Kelantan untuk terus diperintah parti Islam itu selepas pilihan raya 5 Mei ini.

Mursyidul Am PAS itu juga berharap semua warga Kelantan pulang ke negeri tersebut pada hari mengundi dan menunaikan tanggungjawab mereka dalam usaha untuk menawan Putrajaya.

Dalam ceramah yang diadakan di padang Kelab Sultan Sulaiman Kampung Baru semalam, sebuah perkampungan Melayu bersejarah ditengah-tengah ibu kota, dua pemimpin utama Kelantan iaitu Menteri Besar sementara Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Speaker dewan undangan negeri (DUN) Kelantan Datuk Nassuruddin Daud hadir bagi menyampaikan amanat.

“Kita akan mengundi pada 5 Mei, selepas mengundi kita akan membentuk kerajaan, dan bukan hanya kerajaan, tetapi berdasarkan ajaran-ajaran Nabi Muhammad saw ... Ingat ini supaya ia tidak menjadi sukar untuk anda kembali ke Kelantan,” kata Nik Aziz dihadapan ribuan orang ramai yang hadir semalam.

Selain kedua-dua pemimpin Kelantan itu, turut hadir adalah calon PAS bagi kerusi Parlimen Titiwangsa Ahmad Zamri Asa’ad Khuzami, Pesuruhjaya PAS Wilayah Persekutuan, Mohamad Nor Mohamad dan pelakon Mustafa Kamal.

Nassuruddin menaikkan semangat majoriti warga Kelantan yang hadir dengan ucapan penuh bersemangat  dengan menyatakan keyakinan Pakatan Rakyat (PR) semakin hampir ke Putrajaya, tetapi pada masa sama Kelantan perlu dipertahankan.

“Kalau tiket kapal terbang habis, naik kereta atau pun bas dan kalau tiket bas habis semua berpakatlah tumpang kereta kawan-kawan lain... kalau tidak ada juga, jalan kaki pun jalan kakilah.

“Yang penting kita pastikan negeri Kelantan dipertahankan dan ditadbir oleh parti Islam PAS,” kata Nassuruddin yang disambut dengan sorakan ribuan hadirin yang hadir.

Nassuruddin kemudiaan mengingatkan anak perantau supaya tidak terpengaruh dengan janji dan kempen oleh Barisan Nasional (BN), serta menuduh kerajaan pusat sebagai zalim kerana menindas rakyat di Kelantan terutamanya dalam pemberian royalti minyak.

Dalam pada itu, Nassuruddin juga mahu rakyat Kelantan kali ini menguburkan karier politik Datuk Ibrahim Ali di Pasir Mas kerana sudah mengkhianati parti Islam tersebut walaupun menang bertanding pada 2008 atas tiket PAS.

Sebelum itu, orang ramai yang hadir bersembahyang hajat dan bermunajat sementara menanti ketibaan pemimpin utama mereka ke majlis itu.

Kemuncak program semalam adalah bacaan ikrar yang diketuai oleh pelakon terkenal Mustafa, dimana dalam ikrar tersebut menyatakan janji untuk terus mengekalkan kerajaan Islam PAS terus diperintah dan mengamalkan prinsip negara Islam yang sebenar.

Negeri Kelantan adalah sinonim dengan PAS, dimana parti Islam itu telah memerintah negeri tersebut melalui dua tempoh panjang: 1959-1977, dan sejak 1990 hingga sekarang.

Lebih 1.3 juta kenderaan dijangka bergerak sepanjang Lebuhraya Utara-Selatan semasa Pilihan Raya 2013, peningkatan sebanyak 20 peratus daripada 1.1 juta kenderaan pada hari-hari biasa.

Tiada ulasan: