Khamis, 30 Mei 2013

BN tidak perlu dijadikan parti tunggal



Oleh Mohammad Agus Yusoff

 Pada 24 Mei lalu, semasa di Phuket, Tan Sri Muhyiddin Yassin mencadangkan supaya BN menjadi parti tunggal, bukan lagi sebagai gabungan pelbagai parti politik. Alasannya adalah untuk meneruskan kesinambungan sokongan rakyat.


Bagi orang Melayu yang menentang cadangan ini, mereka bertanya parti manakah lagi yang akan membela kedudukan orang Melayu sekiranya UMNO tidak ada? Bagi orang Cina dan India dalam MCA dan MIC pula, mereka bertanya sejauh manakah pembentukan parti tunggal ini akan mengembalikan sokongan bukan Melayu kepada BN? Yang lainnya, mereka bertanya bagaimana hendak mengagihkan jawatan dalam parti tunggal ini?

Sebagai reaksi kepada cadangan ini, mereka menyatakan cara terbaik bukanlah menjadikan BN sebagai parti tunggal, tetapi menjadikan konvensyen tahunan BN sebagai wadah bersuara bagi membincangkan kepentingan semua kaum. Konvensyen boleh diadakan di setiap peringkat parti seperti bahagian, negeri dan nasional. Cara ini lebih praktikal bagi mengeratkan lagi hubungan antara ahli parti dalam komponen dan lebih praktikal untuk diamalkan.

Saya juga bersetuju dengan pandangan di atas. BN tidak perlu dijadikan parti tunggal. Struktur BN tidak perlu dirombak.

Yang perlu dirombak dalam BN ialah gaya politik dan corak pemerintahannya. Dalam PRU yang lepas, pencapaian BN merosot bukan kerana rakyat jemu dan bencikan BN, tetapi kerana rakyat menolak politik ugutan, penyelewengan, sikap double standard, kesombongan dan keangkuhan pemimpin dan ahlinya serta media yang tidak adil.

Jenama inilah yang perlu diperbaiki oleh BN—bukan sahaja bentuknya, tetapi juga isinya. Rakyat Malaysia menuntut tadbir urus kerajaan yang lebih baik.

Tiada ulasan: