Rabu, 8 Mei 2013

BN perlu kaji kemerosotan sokongan kaum Cina

THE MALAYSIAN INSIDER

 BN perlu menjalankan kajian berhubung kemerosotan sokongan kaum Cina pada PRU13.KUALA LUMPUR— Barisan Nasional (BN) perlu menjalankan satu kajian mendalam berhubung kemerosotan sokongan kaum Cina terhadap gabungan itu pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) bagi memahami mesej yang cuba disampaikan, kata beberapa anggota parlimen.

Mereka yang ditemui semasa menghadiri taklimat khas tertutup BN bersama Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini berpendapat BN perlu meneliti perkara itu untuk mencari kaedah bagi menanganinya.

“Hak mengundi dan memilih mana-mana calon terletak pada seseorang individu dan BN perlu mengkaji bagaimana untuk memikat mereka dengan pendekatan yang lebih berkesan pada PRU akan datang,” kata Anggota Parlimen Muar, Datuk Razali Ibrahim.

Anggota Parlimen Setiawangsa Datuk Ahmad Fauzi Zahari berkata Umno dan BN perlu memahami apa mesej yang cuba disampaikan pengundi Cina dalam PRU13 ini.

Katanya, masyarakat perlu memberi masa kepada kepimpinan parti untuk mencari jawapan kepada masalah tersebut untuk diperbaiki dan diperhalusi dengan lebih mendalam.

Anggota Parlimen Jeli, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata kajian akan dibuat oleh BN bagi mengkaji punca kekalahan di beberapa kerusi termasuk di kawasan tokoh-tokoh besar BN.

“Melihat kepada bilangan pengundi di beberapa tempat, pengundi cina rata-rata berpihak pada DAP dan pembangkang dan harus mencari sebab-sebabnya.

“Sebab itu, tokoh politik seperti Datuk Seri Liow Tiong Lai (Timbalan Presiden MCA) menang tipis sahaja, ini sudah pasti memerlukan penelitian kenapa berlaku begitu,” kata beliau.

“Kita perlulah cari kaedah menangani masalah ini kerana kita merupakan sebuah parti inklusif iaitu BN adalah parti untuk semua, dan kita mesti relevan untuk semua kaum dan tidak hanya bergantung sesuatu kaum sahaja,” kata beliau.

Liow berkata parti itu menerima keputusan itu dengan hati terbuka dan akan mengkaji semula masalah melalui mesyuarat post mortem antara pucuk pimpinan parti itu dalam masa terdekat.

Katanya, kekuatan laman web sosial yang menyebarkan pelbagai isu separuh benar oleh Pakatan Rakyat (PR) merupakan antara punca tercetusnya fenomena 'Tsunami Cina' yang memerangkap pengundi Cina untuk tidak memihak kepada BN.

Beliau mengakui PR terutamanya DAP mahir memainkan pelbagai isu yang tidak benar dalam laman web sosial untuk mengalihkan perhatian pengundi Cina.

“Mereka tahu kebanyakan first voters (pengundi muda) banyak menggunakan laman web sosial dan sebab itulah kebanyakan daripada pengundi muda ini memikirkan untuk mengubah kerajaan dengan menolak BN dan menyokong PR,” katanya. — Bernama

Tiada ulasan: