Isnin, 20 Mei 2013

Black 505 lambang bantahan dan kemarahan rakyat

DETIK DAILY

Kenyataan-kenyataan pemimpin Umno-BN berhubung kegagalan parti itu mencatat prestasi cemerlang pada PRU13 pada 5 Mei lalu amat mengguriskan hati rakyat, apabila ia dikaitkan dengan sentimen perkauman. Keputusan PRU13 pula sememangnya tidak boleh diterima oleh PAS dan Pakatan Rakyat kerana ia penuh dengan penipuan.

Black 505 adalah lambang bantahan rakyat terhadap keputusan itu. Momentum ini pasti akan berterusan selagi SPR tidak menjawab segala pembongkaran penipuan yang dilakukan pada PRU13, malah sehingga PRU14. PAS dan Pakatan Rakyat juga akan turut mengemukakan petisyen pilihanraya daripada PRU13 pada 5 Mei lalu. Ikuti pandangan Ketua Penerangan PAS Pusat yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang, Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man ketika ditemubual wartawan kanan, AZIZ MUDA pada 13 Mei lalu.   

WARTAWAN: PRU13 baru-baru ini dikatakan tsunami Cina oleh Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Razak. Bolehkah dibuat andaian seperti itu?


DATO' TUAN IBRAHIM TUAN MAN: Kalau kita tengok keputusan PRU ke-13 baru-baru ini, langsung tidak menunjukkan orang Cina atau pengundi-pengundi Cina tolak Melayu. Sebaliknya, dalam PRU ke-13 pada 5 Mei lalu, orang-orang Cina melakukan perubahan politik dengan menolak MCA dan Gerakan kerana faktor dalaman parti-parti itu sendiri sehingga menyebabkan mereka sanggup memberikan undi kepada calon Melayu. Jadi kalau dikatakan PRU ke-13 itu adalah tsunami Cina, itu tak betul, malah kita nafikannya sama sekali.

Satu lagi, kalau tengok 7 kerusi Parlimen yang ditandingi calon Malayu lawan MCA dan MIC termasuk di Kota Raja, Parlimen Raub, Port Dikson dan Temerloh, juga di beberapa Dun termasuk Dun Beserah, Mentakab, banyak kawasan Cina, tetapi kaum Cina memberikan undi kepada calon Melayu. Di kawasan Dun Beserah contohnya, 80 peratus pengundi Cina, tetapi pengundi-gengundi Cina di kawasan itu memberikan undi kepada calon Melayu dari PAS. Yang ditolak oleh orang-orang Cina adalah calon Cina sendiri. Jadi tak timbul sentimen perkauman. Pengundi DAP tolak MCA dan Gerakan memang agak tinggi.

Jadi ini membuktikan tak timbul juga soal kuasa Melayu hilang. Sebaliknya undi yang diberikan oleh orang-orang Cina kepada Pakatan Rakyat itu adalah bagi menggantikan MCA dan Gerakan. Di Terengganu memang nampak berjaya kerana jelas kuasa Melayu tak hilang kerana di Terengganu itu sendiri adalah di kawasan Melayu, tetapi di kawasan-kawasan pengundi Cina, yang ditolak oleh pengundi-pengundi Cina itu bukanlah orang Melayu. Sebaliknya di kalangan kaum Tionghua, mereka memberikan undi kepada DAP bagi menggantikan MCA atau Gerakan.

WARTAWAN: Setelah gagal mencatat prestasi cemerlang, Umno-BN menyebarkan SMS perkauman pula.

DATO' TUAN IBRAHIM TUAN MAN: SMS perkauman itu dialami oleh Timbalan Presiden PAS, saudara Mohamad Sabu dan Naib Presiden PAS, saudara Salahuddin Ayub. Pertama sekali, kita kecam keras SMS perkauman itu. Yang lebih kita kesali adalah tindakan menceroboh akaun-akaun peribadi yang dilakukan oleh pihak-pihak tertentu. Dengan apa yang terjadi ke atas saudara Mohamad Sabu dan saudara Salahuddin Ayub itu menunjukkan sistem kawalan keselamatan akaun peribadi tidak selamat.

Jadi, kita minta Kementerian Tenaga, Air dan Komunikasi menyiasat perkara ini. Bagaimana kejadian itu boleh berlaku? Bagaimana sistem kawalan keselamatan akaun peribadi boleh diceroboh oleh pihak tertentu? Kementerian Tenaga dan Komunikasi mestilah mengambil tindakan segera bagi menyiasat perkara itu. Mesej SMS perkauman yang tidak bertanggungjawab itu memag amat kita kesali dan kita kecam, tetapi pencerobohan akaun peribadi itu sebenarnya jauh lebih besar daripada mesej yang dihantar itu. Kita menentang keras elemen yang boleh mencetuskan api perkauman di negara ini.

Kita juga amat kesal dengan kenyataan bekas hakim Mahkamah Rayuan, Dato' Mohd Noor Abdullah seperti yang disiarkan dalam akhbar tempatan hari ini (13 Mei 2013). Kenyataan Dato' Mohd Noor Abdullah itu dilihat mempunyai nilai perkauman yang sangat tebal. Tak patut kenyataan seperti itu keluar daripada bekas hakim. Kita juga mengecam beberapa SMS dan kenyataan dalam fabebook yang mengangkat nilai perkauman, dengan mengatakan "Apa lagi yang Cina mahu." Itu adalah provokasi perkauman yang tak sepatutnya berlaku.

Satu lagi, kegagalan BN kali ini sebenarnya adalah hasil cetusan penanda asas yang belum selesai. Ini terutamanya dalam agama, ekonomi dan perkauman. Setiap kali pilihanraya, Umno-BN akan menggunakan isu agama, perkauman dan ekonomi. Isu-isu itu sengaja diangkat oleh mereka ekoran kegagalan mereka menyelesaikannya. Pada hal isu-isu itu adalah perkara pokok. Punca kegagalan BN menyelesaikan isu-isu itu kerana parti-parti yang berada dalam BN itu sendiri adalah berasaskan perkauman, termasuk Umno, MCA dan MIC. Inilah yang menyebabkan nilai-nilai perkauman tidak selesai.

WARTAWAN: Dalam PRU13 lalu terdapat banyak penipuan? Apa komen Dato'?
 
DATO' TUAN IBRAHIM TUAN MAN: Dalam PRU13 ini didapati banyak penipuan yang berlaku. Dalam mesyuarat PAS Pusat semalam (12 Mei 2013), kita telah melantik Pengerusi Lajnah Undang-Undang PAS Pusat, saudara Asmuni Awi menjadi Pengerusi Jawatankuasa Khas bagi mengumpul bahan-bahan bukti untuk dikemukakan dalam petisyen pilihanraya. Kita harap pihak-pihak yang ada bukti menyerahkan bukti-bukti itu kepada Jawatankuasa Khas yang telah ditubuhkan oleh PAS di peringkat pusat itu.

Bahan-bahan bukti itu akan dikumpulkan dalam minggu ini dan keputusannya akan digazetkan dalam masa 21 hari untuk dikemukakan dalam petsiyen pilihanraya. Dalam PRU ke-13 baru-baru ini, kita tengok banyak kegagalan yang berlaku pada peringkat dasar daripada SPR. Antaranya, ada borang 14  yang tak dikembalikan. Selain itu, ada borang 14 yang dimasukkan dalam peti undi. Ada pengundi yang mengundi 2 kali, contohnya di Sungai Isap di Kuantan. Kesemua itu menyebabkan hilangnya keyakinan rakyat terhadap SPR.

WARTAWAN: Bagaimana dengan perubahan yang dikatakan telah dilakukan oleh SPR?  
DATO' TUAN IBRAHIM TUAN MAN: Tak ada perubahan yang dibuat oleh SPR. Walaupun dikatakan akan dilakukan perubahan seperti yang dituntut oleh Bersih, tetapi tiada apa juga yang dilakukan oleh SPR pada PRU ke-13 yang lalu. Kalau ada perubahan pun hanyalah dari segi penggunaan dakwat kekal, tetapi dakwat yang dikatakan kekal itu sebenarnya tak kekal. Janji SPR untuk menggunakan dakwat kekal ternyata tak jadi. Sebaliknya, ia telah menjadi isu besar, apabila dakwat itu tidak kekal.

Selain itu, penipuan juga turut berlaku dalam undi awal. Ini kerana undi awal tak boleh dilihat oleh calon dan wakil calon. Undi awal itu disimpan di lokap polis. Menurut SPR, undi awal itu boleh dilihat oleh calon dan wakil calon, tetapi apabila calon atau wakil calon ingin melihatnya tak pula dibenarkan oleh polis. Kenyataan SPR itu berlainan dengan pihak polis. Sepatutnya apabila SPR kata undi awal itu boleh dilihat oleh calon atau wakil calon, pihak polis mestilah membenarkan calon atau wakil calon melihatnya. Tetapi apa yang berlaku, SPR kata boleh, polis pula tak benarkan. Jadi ini tentulah boleh mendedahkan undi awal itu kepada penipuan.

WARTAWAN: Menurut SPR, dalam PRU13 hanya ada undi awal, tiada undi pos, tetapi undi pos juga sebenarnya masih ada.
DATO' TUAN IBRAHIM TUAN MAN: Kenyataan SPR itu memang mengelirukan. Dalam PRU ke-13 baru-baru ini sebenarnya memang masih ada undi pos. Malah jumlah undi pos lebih ramai berbanding PRU ke-12. Sebagai badan yang bertanggungjawab dengan pengendalian pilihanraya, SPR tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan yang mengelirukan seperti itu. SPR sepatutnya bukan menambahkan kekeliruan, tetapi menghilangkan kekeliruan. 

Selain kekeliruan berhubung undi pos, kekeliruan juga turut dilakukan oleh SPR mengenai undi awal. Dalam taklimat SPR, undi awal akan diadakan 3 hari sebelum pembuangan undi awam pada 5 Mei. Tetapi dalam PRU ke-13, undi awal diadakan 5 hari sebelum pengundian awam. Jadi apa yang dilaksanakan oleh SPR itu berlainan dengan taklimatnya. Di samping undi awal yang diadakan 5 hari lebih awal dari undi awam, dakwat yang digunakan pula tak kekal. Ini pasti mendedahkan undi awal itu kepada pelbagai penipuan.    

WARTAWAN: Bagaimana dengan kejadian di kawasan Dato' sendiri di Dun Jengka?
DATO' TUAN IBRAHIM TUAN MAN: Di kawasan Dun Jengka yang saya tandingi berlaku cukup banyak penyalahgunaan agensi Felda. Di sepanjang kempen, agensi Felda dipergunakan dengan begitu berleluasa. Bendera Felda dinaikkan macam bendera BN. Pejabat Felda dibuka 24 jam. Felda juga turut memberikan duit ses (duit lebihan hasil) kepada para peneroka khususnya yang terbabit dengan getah. Pada hal duit ses itu dah tak dibayar sebelum ini, tiba-tiba duit itu dibayar pula baru-baru ini ketika kempen pilihanraya oleh Umno-BN. Jumlah duit ses yang dibayar itu sebanyak RM2,000, tetapi ketika pilihanraya kecil dibayar RM5,000. Walaupun begitu, duit itu akhirnya dijadikan pinjaman oleh Felda. Sepatutnya duit itu tak jadi pinjaman. Jadi ini pasti akan menjerat peneroka juga akhirnya.  

Selain itu, di kawasan Dun Jengka yang saya tandingi turut juga berlaku ugutan oleh Umno-BN ke atas para peneroka agar tidak menyokong PAS. Dalam masa yang sama, para peneroka turut disogokkan dengan pemberian wang. Satu lagi penipuan yang dilakukan oleh pihak SPR di kawasan Dun Jengka adalah dalam bentuk peratusan pengundi yang keluar mengundi yang terlalu tinggi, sehingga di satu saluran itu ada yang keluar mengundi sehingga 96 peratus. Itu adalah peratusan yang luar biasa.

WARTAWAN: Keputusan PRU13 telah disambut oleh rakyat dengan Black 505, dengan himpunan pertamanya pada 8 Mei lalu di Stadium Kelana Jaya.

DATO' TUAN IBRAHIM TUAN MAN: Hingga setakat ini (13 Mei 2013), himpunan Black 505 sudah diadakan di tiga tempat. Malam esok pula (14 Mei 2013) akan diadakan di Kuantan. Himpunan Black 505 adalah satu perhimpunan yang sangat berjaya sehingga mencatatkan kehadiran ratusan ribu peserta. Daripada data yang kita terima, Umno-BN sememangnya telah ditolak oleh majoriti rakyat negara ini. Penolakan mereka itu, selain di peti-peti undi, turut ditunjukkan oleh rakyat menerima penyertaan mereka dalam perhimpunan Black 505, sebagai lambang kemarahan rakyat terhadap sistem pilihanraya di negara kita yang tidak adil, tidak telus dan tidak bersih, sebaliknya penuh dengan penyelewengan seperti yang dibongkar oleh media baru.

Ini adalah satu kejayaan. Momentum ini pasti akan berterusan hingga pilihanraya akan datang, hingga PRU ke-14 akan datang. SPR mestilah menjelaskan tentang penipuan-penipuan yang telah dilakukannya pada PRU ke-13 pada 5 Mei lalu seperti yang telah dibongkar oleh Dato' Seri Anwar Ibrahim. Selagi SPR tak jelaskan penipuan-penipuan yang dibongkarkan itu, kita dari Pakatan Rakyat tidak akan berhenti daripada mengadakan roadshow di seluruh negara.

WARTAWAN: Bagaimana dengan keputusan PAS sendiri berhubung Black 505?

DATO" TUAN IBRAHIM TUAN MAN: Semalam (12 Mei 2013), Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang telah menjelaskan tentang keputusan PAS untuk menyerahkan perkara itu kepada negeri-negeri untuk turut mengadakannya. Dengan keputusan itu bermakna PAS Pusat sememangnya bersetuju untuk turut mengadakan perhimpunan itu dan mengalu-alu PAS negeri mengadakannya. Esok (14 Mei 2013), PAS Pahang juga akan mengikut sama anak-anak muda menjayakan perhimpunan itu. Gelombang ini akan turut diikuti oleh PAS dan mood ini pasti akan berterusan. Keputusan PRU13 telah mencetuskan momentum itu secara berterusan, manakala PAS pula pasti akan menyambut gelombang itu bersama-sama dengan rakyat.

WARTAWAN: Apakah sebenarnya yang dimaksudkan oleh Presiden PAS menyerahkan perkara itu kepada negeri-negeri?

DATO' TUAN IBRAHIM TUAN MAN: PAS bersetuju dengan himpunan Black 505 itu dan telah memutuskan untuk turut menyertainya. Namun dalam masa yang sama, PAS Pusat akan menyerahkannya kepada negeri-negeri untuk mengadakannya pada masa dan tempat yang sesuai. PAS terima keputusan membantah keputusan PRU ke-13 kerana yang kita bantah adalah penyelewengan yang berlaku dalam PRU ke-13 itu. Tujuan PAS menyerahkan perkara itu kepada negeri adalah untuk difikirkan masa dan tempat yang sesuai untuk mengadakannya oleh PAS negeri. Ini penting supaya himpunan yang kita adakan itu akan berlangsung dengan aman kerana Black 505 itu sendiri bukanlah demonstrasi, tetapi himpunan aman.

Kita tak mahu Umno-BN akan mencetuskan provokasi pula nanti sehingga perhimpunan aman itu menjadi tidak aman. Itulah sebabnya PAS Pusat menyerahkan perkara itu kepada negeri-negeri untuk difikirkan tempat dan masa yang sesuai untuk mengadakannya di negeri-negeri terbabit, memandangkan tempat dan masa yang sesuai di negeri-negeri itu hanya diketahui oleh PAS negeri-negeri sendiri, bukannya PAS Pusat. 

WARTAWAN: Untuk mengemukakan petisyen pilihanraya, Pengarah Strategi KeADILan, Rafizi Ramli pada sidang medianya pada hari ini (13 Mei 2013) telah menyenaraikan 27 kawasan parlimen terbabit, bagaimana pula dengan PAS?

DATO' TUAN IBRAHIM TUAN MAN: 27 kawasan palimen yang dinyatakan oleh Rafizi itu adalah yang dikumpulkan oleh KeADILan. Kawasan-kawasan yang akan dikumpulkan oleh PAS lain pula nanti. Jadi jumlah 27 kawasan yang dinyatakan oleh Rafizi itu adalah yang belum dicampurkan dengan yang dikumpulkan oleh PAS.

PAS sekarang sedang menunggu keputusan daripada Jawatankuasa Khas yang telah ditubuhkan semalam (12 Mei 2013). Setelah keputusan itu kita perolehi, angka itu pasti akan lebih daripada itu nanti.

Tiada ulasan: