Rabu, 29 Mei 2013

Bila harga kereta akan diturunkan - Mahfuz

MALAYSIA CHRONICLE

PAS meminta agar kerajaan menjelaskan kepada rakyat bila harga kereta akan diturunkan sepertimana janji yang terkandung dalam manifesto Barisan Nasional (BN) pada Pilihan raya Umum ke-13.

Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar berkata demikian ketika mengulas kenyataan JF Apex Securities yang disiarkan dalam akhbar.

JF Apex dalam kenyataannya memberitahu kerajaan mungkin mengambil masa yang lebih lama untuk menurunkan harga kereta memandangkan langkah itu boleh menjejaskan penguasaan pasaran Proton.

"Sebagai sebuah kerajaan yang telah berjanji sebelum pilihanraya umum yang lepas jadi kita ingin tahu bila kerajaan ingin menurunkan harga kereta.

"Kita tidak mahu janji tersebut hanya janji pilihanraya, rakyat menanti penurunan harga kereta bagi menampung keperluan hari mereka," kata Mahfuz kepada Harakahdaily.

Katanya lagi, sebagai sebuah kerajaan yang bertanggungjawab, mereka perlu memastikan segala janji manifesto dapat ditunaikan dengan segera.

"Sepertimana yang dilaungkan oleh BN iaitu janji ditepati, maka seeloknya kerajaan menyatakan bila mereka akan menurunkan harga kereta.

"Kita tidak mahu apabila BN menang pilihanraya maka banyak dolak dalih dalam soal penurunan harga kereta apa yang pasti janji tetap janji dan jangan sampai pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) baru ingin dilaksanakan," sambungnya yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena.

Mahfuz memberitahu, Pakatan Rakyat yang sebelum ini turut berjanji untuk menurunkan harga kereta mengikut segala langkah yang telah dikenal pasti bagi mengimbangi ekonomi.

Beliau juga berharap BN turut mempunyai langkah-langkah yang telah dikenalpasti sebelum janji penurunan harga kereta dilakukan dan bukannya menciplak idea daripada Pakatan Rakyat untuk mendapat sokongan pengundi.

BN di dalam manifesto PRU13 telah berjanji menurunkan harga kereta antara 20 peratus hingga 30 peratus.- Harakah Daily

Tiada ulasan: