Rabu, 29 Mei 2013

Bekas Adun bebas tuduhan rasuah

SINAR HARIAN

IPOH - Bekas Adun Changkat Jering, Kapten (B) Mohd Osman Jailu dan Ketua Cabang PKR Parit, Kapten (B) Usaili Alias dilepas dan dibebaskan daripada tiga tuduhan rasuah yang membabitkan jumlah RM100,000, lima tahun lalu.

Hakim Azhaniz Teh Azman Teh menetapkan keputusan itu selepas pendakwaan berjaya menimbulkan keraguan dalam kes pendakwaan.

Kedua-dua mereka melahirkan rasa syukur selepas mendengar keputusan peringkat akhir pembelaan di Mahkamah Sesyen di sini, sebentar tadi.

Sejurus selepas keputusan itu diumumkan, kedua-dua tertuduh kelihatan menarik nafas lega sebelum mengalirkan air mata dan memeluk anggota keluarga masing-masing.

Mohd Osman dan Usaili didakwa menerima wang berjumlah RM105,000 dan meminta RM100,000 daripada Mohamad Imran di Aquarias Restaurant & Bar, Tingkat 4, Hotel Summit, Bukit Mertajam, Pulau Pinang pada 16 Ogos 2008 serta di Restoran Kluang Station Cafe di Medan Istana, Bandar Ipoh Raya pada 19 Ogos 2008.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Datuk Abdul Razak Musa manakala Mohd Osman diwakili peguam Wan Azmir Wan Majid dan Usaili oleh Surjan Singh.

Mohd Osman ketika ditemui pemberita berkata kini kebenaran telah terbukti setelah hampir lima tahun kes ini dibicarakan oleh mahkamah.

"Saya bersyukur dan gembira dengan keputusan ini. (Perjalanan politik) saya tidak terjejas cuma tempoh perjalanan (kes) terlalu lama," katanya.

Usaili pula berkata beliau rasa agak tertekan dengan kes ini.

Patutnya saya boleh bertanding dalam pilihan raya, Insya-ALLAH saya akanteruskan dalam bidang politik ini," katanya yang bersyukur dan lega  dengan keputusan mahkamah.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan kes itu mempunyai kaitan dengan politik.

Pada 5 Feb lepas, Mahkamah Rayuan membebaskan bekas Adun Behrang Jamaluddin Mohd Radzi 57, bekas Anggota Majlis Daerah Perak Tengah Zul Hassan, 51, dan ahli perniagaan Fairul Azrim Ismail, 35, daripada 10 pertuduhan menerima serta meminta rasuah berhubung projek perumahan itu.

Tiada ulasan: