Selasa, 21 Mei 2013

Apa lagi Hindraf mahu?

 
Sekilas pandang terhadap Hindraf berikutan pelantikan Waythamoorthy sebagai timbalan menteri dalam Kabinet Najib.



Jika ada orang mengatakan plot (jalan cerita) filem-filem Tamil adalah tidak logik dan di luar pemikiran akal rasional, mereka patut mengikuti perkembangan Hindu Rights Action Force (Hindraf) sejak 2007.

Pada 5 April 2013, menjelang Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13), saya turut menerima risalah yang diedarkan oleh Human Rights Party (HRP) dalam kempen “hantar calon Hindraf pertama ke Parlimen”. Persatuan Hindraf Malaysia (Hindraf) pula sudah diluluskan pendaftarannya pada 8 Mac 2013.

Pada perkembangan plot ini, harus dinyatakan bahawa “Hindraf” yang dinyatakan oleh HRP adalah berbeza dengan “Hindraf” yang sudah diluluskan oleh Pendaftar Pertubuhan Malaysia (ROS). Saya ada menghuraikan perkara ini menerusi makalah bertajuk “Politikus dalam selimut” (Free Malaysia Today, 19 April 2013).

Umum mengetahui bahawa Hindraf pimpinan P Waythamoorthy adalah sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang tiba-tiba diluluskan dua hari sebelum dia memulakan mogok lapar selama 21 hari. Kemudian, berlaku pertemuan antara Waythamoorthy dan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Najib Razak.

Memorandum persefahaman (MoU) ditandatangani antara BN pimpinan Najib dan Hindraf pimpinan Waythamoorthy pada 18 April lalu; dan selebihnya adalah sejarah. Memandangkan sejarah ditulis oleh pihak yang menang, jangan terkejut jika buku-buku teks Sejarah di sekolah seluruh Malaysia pada masa depan mengangkat Waythamoorthy setaraf Mahatma Gandhi.

“Berpuasa selama 21 hari – cara termurah menjual konsep dan perjuangan Mahatma Gandhi.” Demikian komen Ravi Rathinam, seorang rakan perunding kewangan dari Bahau, Negeri Sembilan berhubung perkembangan plot Hindraf dalam politik Malaysia.

Mengimbau sejarah silam, Hindraf yang bermula sebagai sebuah gerakan pada tahun 2006 dan kemudian bertukar menjadi “tsunami” pada 25 November 2007, pernah diwartakan sebagai pertubuhan haram oleh Kerajaan BN pada 15 Oktober 2008.

Menteri Dalam Negeri (waktu itu), Syed Hamid Albar dalam kenyataan yang disiarkan di Utusan Malaysia (16 Oktober 2008) berkata, perintah pengharaman itu dibuat hasil daripada pemantauan dan penyiasatan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) semenjak Hindraf ditubuhkan.

“Pengisytiharan itu diwartakan setelah KDN berpuas hati dengan segala fakta dan bukti bahawa Hindraf telah dan sedang digunakan bagi maksud memudaratkan ketenteraman awam dan keselamatan negara dan akhlak,” katanya.

Kedudukan Hindraf sebagai pertubuhan haram masih kekal pada 2009, selepas Najib mengambil alih tampuk pemerintahan daripada Abdullah Ahmad Badawi sebagai Perdana Menteri.

Menteri Dalam Negeri (waktu itu), Hishammuddin Hussein dilaporkan dalam Utusan Malaysia (12 Mei 2009) sebagai berkata, permohonan Hindraf bagi mengkaji semula status pengharaman itu telah ditolak.

Kenyataan itu adalah berikutan pembebasan lima pemimpin Hindraf daripada tahanan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Waythamoorthy adalah “pemimpin keenam” yang berjaya melarikan diri ke India – dan kemudian ke United Kingdom – bagi mendapatkan suaka politik selepas penangkapan abangnya, P Uthayakumar pada hujung tahun 2007.

Pada Disember 2008, Ketua Polis Negara (waktu itu), Musa Hassan dilaporkan berkata, jika Waythamoorthy pulang, tindakan undang-undang akan diambil ke atasnya. Hishammuddin pula tidak mahu membuat sebarang spekulasi walaupun Waythamoorthy pada Mei 2009 sudah menyatakan cadangan untuk pulang.

Kemarahan Uthayakumar tidak berasas

“Waythamoorthy adalah seorang ahli perniagaan yang bijak,” kata Jeevan Supramaniam, seorang ahli perniagaan dari Kluang, Johor berikutan ‘durian runtuh’ yang diterima oleh individu itu daripada Najib baru-baru ini.

Pada 26 Januari 2013, perintah pengharaman Hindraf mengikut Seksyen 5 Akta Pertubuhan 1966 ditarik balik oleh KDN. Tindakan drastik itu secara terang-terangan dilihat sebagai usaha BN mahu memancing undi kaum India dalam PRU-13. Tiba-tiba, Hindraf bukan lagi “sebuah pertubuhan yang berbahaya”.

Andaikan ini sebuah filem Tamil. Kita bergerak terus ke babak yang berlatar belakangkan tarikh 18 April 2013. Parlimen sudah dibubarkan pada 3 April 2013 dan penamaan calon PRU-13 akan berlangsung dalam masa dua hari lagi.

Pada masa sama, Najib dan sekutunya semakin terdesak untuk memancing undi kaum India; khususnya dua hari selepas Najib bertindak “terlebih bijak” meletakkan lelaki rasis, ultra kiasu, etnosentrik dan fanatik bernama Zulkifli Noordin bertanding sebagai “rakan BN” bagi merebut kerusi Parlimen Shah Alam.

Pada tarikh 18 April itu, sebaik sahaja MoU ditandatangani antara BN dan Hindraf, Waythamoorthy menyeru kaum India supaya kembali menyokong BN agar gabungan parti-parti politik berasaskan kaum itu boleh menang majoriti dua pertiga dalam PRU-13.

Pada waktu yang sama – bayangkan seperti paparan pada skrin pawagam – Uthayakumar terasa amat kecewa dengan tindakan adiknya. Baginya, Waythamoorthy sudah “merampas” (hijack) Hindraf.

Bagi si adik, MoU yang digelar “pelan tindakan lima tahun Hindraf-BN untuk masyarakat India” adalah penting bagi meningkatkan taraf pekerja ladang, menyelesaikan isu tiada taraf kewarganegaraan (statelessness), peluang pendidikan dan peluang perniagaan.

Kamera kembali memaparkan wajah Uthayakumar. Tarikh: 19 April 2013; sehari sebelum tarikh penamaan calon PRU-13. HRP masih merayu-rayu kepada Anwar Ibrahim menerusi Facebook supaya diberikan peluang bertanding atas tiket PKR. Ternyata pegangan HRP untuk berjuang bagi “kaum India miskin” gagal menarik perhatian Anwar dan PKR.

Dua hari kemudian (21 April), penasihat Hindraf, N Ganesan mengaku bahawa pendaftaran Hindraf sudah diluluskan pada 8 Mac tetapi mereka sengaja “merahsiakan” supaya boleh diumumkan secara rasmi pada persidangan kebangsaan yang dijadualkan pada hari itu (21 April).

“Kes tuntutan terhadap kerajaan United Kingdom kerana kecuaian mereka ke atas kaum India di negara ini apabila mereka meninggalkan Tanah Melayu pada tahun 1957 masih dalam proses dan akan diteruskan walau apa pun perkembangan di sini sekarang. Gabungan BN-Hindraf tidak akan mengubah pendirian Hindraf dalam kes tuntutan itu,” kata Ganesan kepada media.

Menurut laporan Free Malaysia Today (27 April 2013), Uthayakumar mengaku bahawa dialah pemimpin sebenar Hindraf dan adiknya, Waythamoorthy, sekadar memantau gerakan itu sementara dia (Uthayakumar) masih dalam tahanan ISA.

“Waythamoorthy adalah pengkhianat (traitor) dan sudah terkeluar daripada landasan perjuangan Hindraf. Maka, majlis tertinggi memutuskan untuk melucutkannya daripada Hindraf pada 25 April,” kata individu itu yang bertanding sebagai calon bebas (dan hilang wang deposit) di Parlimen Kota Raja dan DUN Seri Andalas dalam PRU-13.

Agak menarik untuk diperhatikan bahawa dalam suatu wawancara media (6 Disember 2007), Uthayakumar mengakui Waythamoorthy sebagai pengerusi Hindraf. Bagaimanapun, pada 20 April 2013, Uthayakumar mengaku bahawa dialah pemimpin sebenar Hindraf.

Apa yang nyata dan tidak boleh dipertikaikan oleh Uthayakumar, seperti dilaporkan Utusan Malaysia (16 Mei 2013), “Pengerusi Barisan Bertindak Hak Penganut Hindu (Hindraf), P Waythamoorthy diletakkan sebagai Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri.”

Pejuang kaum India atau oportunis politik?



Seorang penjawat awam dari Shah Alam, T Selva menyifatkan perkembangan plot ini sebagai “suatu usaha terancang oleh Waythamoorthy dan Najib untuk menghapuskan MIC”.

Uthayakumar ternyata tidak mahu mengaku kalah. Maklumlah, dia yang bercita-cita mahu menjadi “calon Hindraf pertama di Parlimen” tetapi kini adiknya pula menjadi Senator dengan amat mudah.

Bagi si abang, adiknya adalah “political opportunist” dan “the latest Indian mandore” serta pelantikannya dalam Kabinet Najib tiada apa-apa kaitan dengan Hindraf, seperti dilaporkan di Free Malaysia Today (16 Mei 2013).Suara bantahan juga datang daripada Ketua Pemuda MIC Kebangsaan, T Mohan. Katanya, pelantikan Waythamoorthy oleh Najib hanya akan mengurangkan sokongan kaum India terhadap BN.

“Najib tidak membincangkan dahulu pelantikan itu dengan MIC sedangkan kami wakil kaum India dalam BN sejak 55 tahun lalu. Orang sudah mula mempersoalkan mengapa BN tidak menghormati MIC. Najib sepatutnya boleh sahaja mempertimbangkan untuk melantik timbalan menteri dari IPF yang setia kepada BN sejak 22 tahun lalu,” katanya dalam laporan yang disiarkan di The Kuala Lumpur Post (16 Mei 2013).

Presiden IPF, M Sambanthan juga tampil menyuarakan “harapan” pada 18 Mei lalu bahawa Najib yang bercakap mengenai “nambikei” (trust) akan memberikan pengiktirafan sewajarnya terhadap parti politik itu berikutan kejayaan BN mengekalkan kuasa dalam PRU-13.

“Kami tetap yakin bahawa Najib dan BN akan memberikan sesuatu untuk kami,” katanya dengan penuh mengharap dalam laporan Bernama.

Sementara itu, MIC sendiri dibidas kerana masih leka menganjurkan acara muzikal, hiburan, pertandingan futsal dan sebagainya. Menurut ketua bahagian MIC Kota Raja, RS Maniam, bukan itu yang dimahukan oleh generasi muda kaum India. Sekiranya MIC gagal berubah, maka parti politik itu akan menjadi tidak relevan (Free Malaysia Today, 18 Mei 2013).

Sehari sebelum itu, menerusi laporan dalam Bernama, S Subramaniam meminta ahli MIC menerima kepimpinan Waythamoorty. Pada pandangannya, Najib tentu ada alasan untuk membawa masuk pemimpin Hindraf itu yang suatu masa dahulu kuat menentang MIC dan BN. Beliau turut mengakui bahawa pelantikan Waythamoorthy tidak dibincangkan oleh Najib dengan MIC terlebih dahulu.

Apa-apa yang berlaku tidaklah menghairankan. Pada 16 April lalu, apabila Najib dengan bangga mengangkat Zulkifli Noordin sebagai calon “rakan BN”, MIC tidak cukup jantan untuk bersuara.

Sebaliknya menyeru kaum India menyokong lelaki rasis itu sebagai “pejuang hak kaum India”.
Thanenthiran dari Parti Makkal Sakti Malaysia pula mahu kaum India “memaafkan Zulkifli” (Bernama, 19 April 2013).

Di pihak Waythamoorthy, dia tidak perlu kisah atau ambil pusing terhadap “salakan” Uthayakumar dan MIC kerana dia mendapat mandat secara langsung daripada Najib. Waythamoorthy tidak tertakluk pada syarat dan peraturan MIC. Ringkasnya, kedudukannya di sisi Najib adalah lebih tinggi daripada Presiden MIC, G Palanivel sendiri.

Dalam satu sidang media pada 18 Mei lalu, Waythamoorthy berjanji akan membuktikan kemampuannya dalam masa lima tahun untuk “mengubah nasib kaum India” sebagai Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Persoalan yang boleh sama-sama kita renungkan adalah apa yang telah dilakukan oleh Palanivel sejak lima tahun lalu di Jabatan Perdana Menteri? Maka, pelantikan Waythamoorthy sesungguhnya boleh dilihat sebagai tamparan hebat Najib kepada kemampuan MIC.

* Uthaya Sankar SB suka menonton filem pelbagai bahasa dalam genre thriller.

Tiada ulasan: