Selasa, 28 Mei 2013

Anwar jelaskan tiada rancangan Pakatan untuk berhimpun di Dataran Merdeka

OLEH CLARA CHOOI
PENOLONG PENGARANG BERITA

May 27, 2013
Anwar berkata PR akan terus membantah keputusan pilihan raya. - Gambar oleh Saw Siow FengPETALING JAYA — Pakatan Rakyat (PR) belum secara rasmi berbincang atau merancang untuk mengadakan perhimpunan bantahan di Dataran Merdeka, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim (gambar) hari ini menjelaskan tentang cakap-cakap dari sesetengah pemimpin pembangkang.

Pemimpin de facto PR itu walau bagaimanapun berkata, gabungan itu akan meneruskan perhimpunan #Black505 untuk membantah keputusan pilihan raya baru-baru ini, mengatakan daripada sentimen rakyat dari perhimpunan lepas, jelaslah ramai yang telah “muak” dengan Barisan Nasional (BN).

Beliau mengatakan Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu yang menyatakan tentang Dataran Merdeka semalam dalam perhimpunan #Black505 di tapah, Perak hanya menyuarakan sentimen ini.

“Saya fikir Mat Sabu hanya menyuarakan sentimen popular ini bahawa kita tidak boleh membenarkan penipuan ini untuk berterusan dan SPR mendakwa mereka tidak terlibat dengan aktiviti jenayah mengelirukan dan menipu dalam pilihan raya.

“Ini bukan, sudah tentu, keputusan dari PR,” tambah beliau. “Setakat ini, masih belum ada perbincangan atau keputusan oleh PR.”

Semalam di Tapah, Perak Mohamad mengatakan PR akan menghimpunkan jutaan rakyat di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur jika tuntutan mereka agar pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof dan timbalan pengerusi  Datuk Wan Ahmad Wan Omar meletakkan jawatan tidak ditunaikan.

Menurut timbalan presiden PAS itu, jika desakan tidak ditunaikan, PR akan menganjurkan lebih banyak perhimpunan sehingga kerajaan Datuk Seri Najib Razak turun takhta.

“Jutaan rakyat akan memenuhi Kuala Lumpur jika tuntutan kita tidak ditunaikan tidak lama lagi,” kata Mohamad dalam perhimpunan #Black505 di sini malam tadi.

“Jika SPR tidak letak jawatan, kita akan terus mengadakan perhimpunan sehingga kerajaan Najib gugur,” tambah beliau lagi.

Perhimpunan #Black505 di Tapah ini adalah yang kesepuluh bagi membantah keputusan Pilihan Raya 2013 dan julung kalinya dianjurkan oleh PAS.

PR menyalahkan penipuan pilihan raya menyebabkan mereka tidak menjadi kerajaan walaupun menang undi popular pada Pilihan Raya 2013.

PR menang 89 kerusi Parlimen berbanding Barisan Nasional (BN) yang mendapat 133 kerusi daripada 222 kerusi Parlimen.

Walau bagaimanapun, buat pertama kali semenjak 1969, BN kehilangan undi popular apabila hanya mendapat 47 peratus undi keseluruhan berbanding PR yang mendapat 51 peratus.

Tiada ulasan: