Sabtu, 11 Mei 2013

Agihan Kerusi Kepada MCA, Gerakan Perlu Dikaji - Penganalisis

MSTAR ONLINE
 
KUALA LUMPUR: Barisan Nasional (BN) perlu mengkaji semula peruntukan kerusi Kabinet kepada MCA dan Gerakan berikutan prestasi buruk kedua-dua parti itu pada pilihan raya imum ke-13 (PRU-13) Ahad lepas, menurut beberapa penganalisis politik.

Pengarah Pusat Dasar Teknologi dan Kajian Antarabangsa, Kampus Antarabangsa Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Prof Dr Azmi Hassan berkata komposisi anggota Kabinet daripada kalangan anggota MCA dan Gerakan wajar dikecilkan berikutan keputusan yang dicapai oleh kedua-dua parti itu pada PRU-13.

Azmi, yang juga ahli geostrategi, berkata tidak menjadi kesalahan jika Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengecilkan agihan kerusi Kabinet kepada kedua-dua parti terbabit.

"Jumlah tidak penting sebaliknya apa yang mustahak ialah peranan yang mampu dimainkan oleh mereka (MCA dan Gerakan) yang dilantik untuk menarik kembali sokongan kaum Cina," katanya di sini Jumaat.

Beliau berkata anggota MCA perlu berpegang kepada ikrar yang dibuat mereka pada mesyuarat agung tahunan parti itu sebelum ini, jika "terima sudah tentu ia melibatkan soal maruah mereka (MCA)."

MCA sebelum ini mengumumkan pendirian parti itu untuk tidak menerima sebarang jawatan dalam kerajaan jika prestasinya pada PRU-13 lebih teruk daripada PRU12 apabila parti itu memenangi 15 kerusi Parlimen dan 32 kerusi negeri.

Pada PRU-13 MCA hanya menang tujuh daripada 37 kerusi Parlimen yang ditandingi, dan hanya 11 daripada 90 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Gerakan pula hanya memenangi satu kerusi Parlimen iaitu Simpang Renggam, daripada 11 kerusi yang ditandinginya, dan tiga kerusi DUN iaitu Pemanis di Johor dan Tanjong Papat serta Elopura di Sabah, daripada 31 kerusi yang ditandinginya.

Sebelum Parlimen dibubar pada 3 April lepas, MCA mempunyai empat menteri penuh dalam Kabinet iaitu Datuk Seri Dr Ng Yen Yen (Menteri Pelancongan); Datuk Seri Kong Cho Ha (Menteri Pengangkutan); Datuk Seri Chor Chee Heung (Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan) dan Datuk Seri Liow Tiong Lai (Menteri Kesihatan).

Selain itu terdapat tujuh timbalan menteri iaitu Datuk Seri Donald Lim Siang Chai (Kementerian Kewangan); Datuk Chua Tee Yong (Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani); Datuk Lee Chee Leong (Kementerian Dalam Negeri), Datuk Ir Wee Ka Siong (Kementerian Pelajaran); Gan Ping Sieu (Kementerian Belia dan Sukan); Datuk Dr Hou Kok Chung (Kementerian Pengajian Tinggi) dan Datuk Heng Seai Kie (Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat).

Gerakan pula mempunyai seorang menteri penuh apabila Presidennya Tan Sri Dr Koh Tsu Koon yang dilantik sebagai senator diberikan jawatan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, manakala dua lagi anggota parti itu iaitu Senator Kohilan A.Pillay sebagai Timbalan Menteri Luar dan Datuk Tan Lian Hoe sebagai Timbalan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan.

Bagi penganalisis politik dari Universiti Utara Malaysia (UUM) Mohd Shukri Shuib pula agihan kerusi boleh dikecilkan, namun kerajaan jangan sesekali menyisihkan wakil kaum itu daripada Kabinet agar masyarakat Cina terus yakin dengan kesungguhan kerajaan.

"Kalau masyarakat Cina tidak percaya kepada ahli politik Cina yang dibawa oleh MCA dan Gerakan cari alternatif lain seperti lantik golongan yang boleh kembalikan keyakinan mereka termasuklah golongan intelektual atau pakar tertentu," katanya.

Penganalisis dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof Madya Dr Mohd Fuad Mat Jali berkata wakil MCA dan Gerakan harus kekal ada dalam barisan Kabinet bagi mengekalkan perpaduan nasional yang menjadi amalan di negara ini.

Konsep perkongsian kuasa yang diamalkan BN harus diteruskan, tetapi pada masa sama kepercayaan parti harus dijadikan landasan oleh MCA dan Gerakan untuk berusaha mengembalikan keyakinan rakyat kepada mereka, katanya.

"Bagi saya keputusan MCA untuk tidak menerima sebarang jawatan dalam Kabinet harus ditimbangkan semula atas dasar perpaduan dan kepentingan masyarakat Cina.

"Perwakilan Cina dalam Kabinet masih perlu untuk membawa aspirasi sebahagian masyarakat itu yang masih menyokong BN dan suara mereka harus diwakili di peringkat tertinggi," katanya.

Mohd Fuad berkata walaupun kalangan bukan ahli politik boleh menjadi alternatif untuk mewakili kaum itu dalam Kabinet, namun penyertaan wakil rakyat MCA dan Gerakan yang menang pada pilihan raya lepas wajar ditimbangkan bagi memastikan tidak timbul rasa tidak puas hati mana-mana pihak.

"Mungkin kalau tidak ada langsung wakil daripada parti itu akan menyebabkan wakil rakyat mereka terutamanya yang menang pada PRU-13 merasa demoralised, kecuali mereka sememangnya tak mahu langsung (menerima jawatan)," katanya.

Bagi Dr Noor Sulastri Yurni Ahmad dari Universiti Malaya (UM), penyertaan MCA dan Gerakan dalam Kabinet bukan sahaja perlu dikecilkan, malah dikecualikan berikutan prestasi teruk kedua-dua parti itu yang menjadi indikasi rakyat tidak mahu diwakili oleh anggota parti itu.

"Seharusnya siapa yang menang dengan majoriti yang banyak patut diberi peluang untuk pegang jawatan. Jika suam-suam kuku tidak perlu simpan orang begini sebab rakyat sudah buat pilihan dan jika kerajaan terus ambil risiko (melantik mereka), dalam tempoh lima tahun akan datang, rakyat akan lebih marah," katanya.

Noor Sulastri Yurni mencadangkan peruntukan kerusi MCA dan Gerakan diisi oleh wakil komponen parti dari Sabah dan Sarawak yang mendapat majoriti besar.

Ketua Umno Bahagian Cheras Datuk Wira Syed Ali Alhabshee turut sependapat dengan berkata pilihan anggota Kabinet harus mengambil kira keputusan rakyat yang memberi signal jelas menolak untuk diwakili oleh MCA mahupun Gerakan.

"Trend PRU13 menampakkan masyarakat Cina tidak perlukan BN, yang menyokong pun hanya dalam 10 hingga 15 peratus sahaja, jadi jelas kehendak masyarakat itu tidak mahu bersekongkol dengan BN dan tidak mahu BN mewakili mereka, kita ikutlah, jangan beri mereka apa-apa (jawatan).

"Berdasar konsep 1Malaysia, perdana menteri mahu membuktikan beliau perdana menteri bagi semua kaum, tetapi jika masyarakat Cina rasa tak perlu apa yang dilakukan BN, maka tidak salah kalau kita tubuh Kabinet yang diwakili kaum lain," katanya. - BERNAMA

Tiada ulasan: