PKR akan menghantar memorandum kepada Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Singapura di Kuala Lumpur bagi menyatakan kebersamaan dengan 21 rakyat Malaysia yang ditahan pihak berkuasa republik itu kerana menyertai perhimpunan mempertikaikan keputusan pilihan raya negara ini.

Menurut makluman media, dua naib presidennya - Nurul Izzah Anwar dan Datuk Seri Chua Jui Meng - sendiri akan turun menyerahkannya di pejabat pesuruhjaya tinggi itu di Jalan Tun Razak pada pagi Khamis ini.

Straits Times Singapura pada 15 Mei lalu melaporkan, kerajaan negeri itu akan menarik balik pas kepada rakyat Malaysia yang terlibat dalam perhimpunan haram pada 8 dan 11 Mei di Merlion Park di Kota Singa itu.

Dua orang yang terlibat sudah dibatalkan pas lawatan masing-masing sementara pas kerja 18 lagi rakyat Malaysia akan disemak semula selepas siasatan selesai.

Memetik kenyataan polis, harian berbahasa Inggeris itu juga melaporkan, selepas menangkap 21 orang itu, polis juga mengeluarkan amaran kepada majikan masing-masing.

Lapan lelaki dan 13 perempuan antara 21 hingga 40 tahun itu sudah diikat jamin. Maklumat pekerjaan mereka masih belum diketahui setakat ini.