Khamis, 21 Mac 2013

Syabas BN: Rakyat Sabah lupa isu lebih kritikal?




Oleh AHMAD LUTFI OTHMAN

Tragedi pencerobohan Lahad Datu sudah melangkau menjadi isu politik daripada persoalan keselamatan semata-mata. Sememangnya politik dan keselamatan mempunyai kaitan yang rapat. terutama di negara-negara membangun.

Peristiwa pengeboman Menara Berkembar Amerika Syarikat pada 11 September 2011 mempunyai implikasi besar bukan saja kepada lanskap politik dunia, malah kepada bentuk laporan media menentang terorisme. Apatah lagi dalam konteks Malaysia hari ini, semua perhatian tertumpu kepada PRU13, pilihan raya paling sengit dalam sejarah dan rakyat dilihat bersedia untuk melakukan perubahan di peringkat kerajaan persekutuan.

Dato' Seri Najib Razak berada dalam posisi cukup sukar. Selain risau untuk melengkapkan teori pusingan nama-nama Perdana Menteri Malaysia, R.A.H.M.A.N, kedudukannya juga terancam jika gagal mengembalikan majoriti dua pertiga BN di Parlimen, apatah lagi jika gabungan parti itu tewas kepada Pakatan Rakyat.

Berdasarkan laporan media dan juga siri kenyataan Najib (di merata tempat) serta pemimpin utama BN lainnya, isu Lahad Datu yang mengorbankan sepuluh perwira negara itu telah dimanipulasi sepenuhnya demi kepentingan politik dan survival kuasa.

"Atas nama keselamatan negara, kedaulatan tanahair dan ketenteraman awam, seluruh rakyat bersatu ... ya, sebenarnya Najib mahu rakyat berpadu untuk melangsungkan kerakusan dan ketamakan kuasa BN!" seorang rakan saya di Peringkat, Kelantan, menghantar SMS.

Penganalisis politik Sabah, Musli Oli, yang juga aktivis KeADILan, pada 13 Mac lalu, turut mengingatkan saya: "Insiden Lahad Datu hampir menutup mata rakyat Sabah terhadap isu-isu yang sekian lama menghantui mereka. Soal hak dan masa depan, isu Perjanjian Malaysia, Perkara 20, kemiskinan, pengangguran, kes RM40 juta dan USD90 juta, polisi kabotaj, kenaikan harga barang keperluan, kemudahan asas yang teruk.

"BN berjaya jadikan tragedi berdarag dan airmata untuk raih simpati rakyat sehingga rakyat Sabah lupa isu-isu asas. Korban nyawa menjadikan rakyat sedih dan takut untuk lakukan perubahan. Itulah matlamat BN dan mereka telah berjaya."

Selain konflik berdarah ini menunjukkan petaka besar "Projek IC", saya lebih cenderung untuk melihatnya, sepertimana penegasan Bekas Timbalan Panglima Tentera Darat, Leftenan Jeneral (B) Dato' Ghafir Abdul Hamid yang mengungkitkan soal keupayaan ketenteraan kita, antaranya proses  kerajaan membeli senjata mahal secara tender rundingan terus dan bergantung kepada satu penender semata-mata, sehingga mewujudkan perbezaan harga yang ketara berbanding pembelian negara lain.

"Banyak kos-kos tersembunyi. Kita boleh tanya apa dia kos tersembunyi? Termasuklah komisyen. Kalau orang kaya dipanggil komisyen, kalau mata-mata di tepi jalan dipanggil rasuah," katanya.

"Apabila beli senjata sentiasa kita balik kepada pembekal untuk dapatkan alat ganti. Apabila senjata itu rosak kena hantar ke London, Perancis atau sebagainya. Ia makan duit yang banyak. Sektor penting juga tidak dibangunkan. Umpamanya kalau kita tengok berek. Berek tentera Kem Rasah, kalau tengok dari luar memang cantik. Masuk dalam, tengok dia punya jamban!" tegasnya dalam majlis ceramah di Seremban, 17 Mac lalu.

Kumpulan Aktivis Media Independen (KAMI) memerlukan sumbangan orang ramai bagi membiayai projek penerbitan bahan bercetak untuk kempen PRU13, antaranya untuk kos percetakan sisipan BANGKIT bagi edaran percuma. Salurkan sumbangan ada kepada akaun Maybank KAMI MEDIA 514075606399. Tulisan Ahmad Lutfi ini dipetik dari kolum SIMPUL MATI dalam BANGKIT terbaru.

Tiada ulasan: