Sabtu, 30 Mac 2013

Shahrizat sah tidak bertanding, ulangi sokongan kepada Raja Nong Chik

TERKINI @ 05:33:45 PM 30-03-2013
Oleh Md Izwan
March 30, 2013
Ketibaan Datuk Seri Shahrizat Jalil ke Majlis YKN Bersama Warga Perumahan PDRM Desa Tasik Sempena Sambutan Hari Polis ke-206 “Komuniti Sejahtera Komitmen Kami”. — Gambar oleh Choo Choo MaySUNGAI BESI,  — Ketua Wanita Umno Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil mengesahkan dirinya tidak bertanding pada Pilihan Raya 2013, tetapi mengulangi pendirian menyokong Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin untuk merampas kerusi Parlimen Lembah Pantai. 
 
Shahrizat yang ditemui wartawan juga mengkritik MP Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar sebagai tidak menunaikan tanggungjawabnya sebagai wakil rakyat dikawasan tersebut dan banyak janji semasa mereka berkempen yang tidak ditepati.

"Tidak, tidak saya tidak bertanding," apabila ditanya wartawan sama ada beliau akan bertanding atau tidak semasa ditemui dalam majlis bersama warga perumahan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Sungai Besi disini hari ini.

"Macam di Lembah Pantai, tanyalah kepada pengundi-pengundi prestasi ahli parlimen yang ada pada hari ini. Hanya gah sahaja pada masa berkempen... tapi lepas tu habis," kata Shahrizat.

Bekas menteri wanita, keluarga dan masyarakat juga berkata Barisan Nasional berpeluang cerah untuk menang di Lembah Pantai cerah dengan komitmen dan kerajinan Nong Chik yang sering turun padang bertemu rakyat.

Beliau juga mengulangi pendirian menyokong penuh kepada menteri Wilayah Persekutuan dan kesejahteraan bandar sebagai calon bertanding dikawasan Lembah Pantai.

"Saya sokong penuh Datuk Raja Nong Chik selaku calon dan kita akan go all out.

"Saya sendiri juga akan turun ke Lembah Pantai untuk membantu beliau pada masa berkempen nanti," ujar beliau lagi.

Terlebih dahulu dalam majlis sama, Shahrizat mengumumkan menubuhkan satu "task force" bagi berhadapan dengan cubaan pembangkang untuk mencetuskan kekecohan semasa hari pilihan raya yang bakal diadakan tidak lama lagi.

Menurut beliau, penubuhan "task force" bertujuan untuk menjamin keselamatan pengundi terutamanya penyokong BN supaya keluar mengundi dengan aman tanpa sebarang insiden tidak diingin yang mungkin dicetus pembangkang.

Shahrizat pada April tahun lepas telah melepaskan jawatannya sebagai menteri pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat setelah tamat penggal lantikan beliau sebagai senator.

Namun begitu, Shahrizat menafikan perletakan jawatan beliau disebabkan oleh skandal Pusat Fidlot Nasional (NFC), sebaliknya menegaskan sekali lagi, perkara itu hanyalah kebetulan memandangkan beliau adalah isteri kepada Pengerusi NFC Datuk Seri Salleh Mohamad.

Shahrizat telah dikaitkan dengan skandal itu oleh PKR kerana kedudukan suaminya dan tiga orang anaknya yang dilantik selaku pengarah dalam syarikat yang sama.

Mohamad Salleh telah didakwa atas jenayah pecah amanah dan melanggar Akta Syarikat melibatkan RM49 juta dana pesekutuan yang diberi kepada NFCorp pada 12 Mac.

Mohamad Salleh didakwa atas kanun keseksaan kerana menyalahgunakan RM9,758,140 dari wang NFCorp untuk membeli dua kondominium mewah di One Menerung di Bangsar untuk Perbadanan Daging dan Ternakan Nasional (NMLC) pada 1 Disember dan 4 Disember 2009.

Beliau juga didakwa memindahkan RM40 juta wang NFCorp kepada NMLC antara 6 Mei hingga 16 November 2009.

Beliau didakwa dalam dua kes tersebut kerana menggunakan dana tanpa mesyuarat tahunan syarikat, satu kesalahan dalam Akta Syarikat.

Jika didapati bersalah beliau akan menghadapi penjara diantara dua hingga 20 tahun penjara, sebatan dan denda kerana kesalahan di bawah kanun keseksaan.

Mohamad Salleh juga boleh dipenjara lima tahun atau denda RM30,000 jika didapati bersalah dalam Akta Syarikat.

Tiada ulasan: