Khamis, 14 Mac 2013

SAMM: Kenyataan Muhyiddin songsang

 
Ia juga menggambarkan seolah-olah TPM sedang bercakap di depan cermin, kata Pengarah Propaganda Edy Noor Reduan dalam kenyataan media. 



PETALING JAYA: Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) menyifatkan kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa Pakatan Rakyat merancang menggagalkan pilihan raya umum ke 13 sebagai kenyataan songsang.

“SAMM menyifatkan kenyataan tersebut adalah ‘songsang’ dan terbalik. Ia juga menggambarkan seolah-olah TPM sedang bercakap di depan cermin,” kata Pengarah Propaganda Edy Noor Reduan dalam kenyataan media.

Bagi SAMM, walaupun kenyataan pemimpin nombor dua Umno agak lucu dan tidak masuk akal, SAMM tetap mengambil serius memandangkan tabiat ‘berbuat sesuatu tetapi menuduh orang lain buat’ telah berlaku dalam skala penipuan yang sangat besar.

Ia dibantu oleh media yang dikawal oleh mereka dengan harapan rakyat terus diperbodoh, tambahnya.

“Majoriti rakyat sudah tahu apa sebenarnya yang telah berlaku. Rakyat tahu siapa yang merancang untuk menggagalkan pilihan raya, malah setakat ini pihak yang sama dengan sengaja telah melewat-lewatkan pilihan raya.

“Rakyat juga tahu siapa yang mahu menghuru-harakan keadaan, malah telah banyak huru-hara dilakukan oleh penyokong Umno.

“Serangan cat, baling batu, baling telur, semua dilakukan Umno kerana gementar kehilangan besar sokongan rakyat. Rata-rata pemimpin Umno yang terlibat pelbagai skandal bakal ke penjara jika Umno tewas Putrajaya, ia seharusnya menimbulkan panik,” tambahnya .

Menurut Edy Noor, sebagai gagasan paling berpotensi untuk menerajui Putrajaya selepas ini, tiada sebab untuk Pakatan Rakyat mencetus huru-hara kerana ia akan menyulitkan banyak perkara.

Katanya, Pakatan Rakyat bertegas untuk memastikan peralihan kuasa berlaku dengan aman dan beberapa ‘langkah awal’ melibatkan institusi keselamatan negara telah mula disusun.

Ini hakikat yang harus diterima, katanya lagi.

Tiada ulasan: