Rabu, 27 Mac 2013

PRU13: Parti Politik Ligat Berkempen

 

KL TODAY


PETALING JAYA: Tarikh bila pilihan raya umum akan diadakan masih menjadi tanda tanya, namun semua parti politik tidak menjadikannya sebagai alasan sebaliknya mereka terus memperkuatkan jentera parti bagi memperhebatkan kempen masing-masing.


Sejak beberapa bulan lalu, MCA, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan PAS telah menempah bas dan treler yang boleh ditukar menjadi pentas ceramah mini bagi memudahkan mereka menjelajah ke seluruh negara.


Dengan menggunakan slogan yang menarik seperti Kestabilan Rakyat Diutamakan, Jelajah Merdeka Rayat, Negara Berkebajikan dan Jentera Impian, kenderaan ini boleh membawa ahli kempen ke mana-mana sahaja.


“Ia sangat mudah kerana kami boleh menyediakan pentas ceramah di tempat yang sesak seperti kawasan berhampiran pasar malam, kata Bendahari MCA, Datuk Seri Tan Chai Ho.


Bas dua tingkat milik MCA mempunyai kawasan tingkat atas yang terbuka sementara sebelah dalamnya dilengkapi dengan peralatan audio dan skrin LCD yang membolehkan tayangan klip video dipaparkan.




Slogan ‘kestabilan elak huru-hara’ turut diletakkan di bahagian atas sementara di sepanjang badan bas diletakkan gambar Pengerusi Barisan Nasional, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek serta panda yang merupakan maskot rasmi MCA.


Bas ini kali pertama diperkenalkan pada Majlis Rumah Terbuka MCA di Cheras bulan lalu, dan mereka turut memiliki lima buah lori kempen yang boleh ditukar menjadi pentas ceramah di beberapa lima negeri iaitu, Johor, Negeri Sembilan, Melaka, Pahang, Perak dan Kedah.


Tan yang juga Pengerusi MCA Wilayah Persekutuan berkata kenderaan berkenaan digunakan oleh semua calon yang akan bertanding pada pilihan raya umum kali ini.


Idea asal mengenai cadangan ini datang dari Dr Chua sementara semua bas yang disediakan ini ditaja oleh penyokong parti, kata Tan.


Tidak ketinggalan DAP turut mempunyai treler yang dillengkapi dengan pentas ceramah, dengan slogan ‘Jentera Pilihan’ ia kali pertama diperkenalkan ketika Himpunan Kebangkitan Rakyat Pakatan Rakyat pada November tahun lalu.


“Jentera pilihan raya kami menjadi lebih mudah dan menjadikan kami lebih berkesan dalam menyampaikan mesej,” kata Ketua Pemuda DAP, Anthony Loke, tambahnya bahawa kos kenderaan berkenaan ditaja oleh penyokong parti itu.


Sementara PAS pula memperkenalkan treler ‘Negara Berkebajikan’ mereka bulan lalu.


Idea untuk mewujudkan trak berkenaan datang daripada Pengarah Pilihan Raya PAS, DR Mohd Hatta Ramli.


“Kita tidak boleh berhenti dan perlu mengadakan ceramah sekurang-kurangnya di tiga lokasi pada setiap hari,” katanya.


Treler berkenaan dibeli hasil daripada kutipan derma dan ia turut boleh dijadikan pentas ceramah.


Sementara itu, Pengarah Komunikasi PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata bas dua tingkat mereka, dengan slogan ‘Jelajah Merdeka Rakyat’ telah dilancarkan sejak Ogos tahun lalu.


“Bagi penduduk di kawasan luar bandar yang tidak pernah melihat pimpinan PKR secara dekat, projek bas yang menggunakan imej professional dapat membantu untuk memenangi hati mereka secara psikologi,” kata Nik Nazmi sambil menambah bas berkenaan telah digunakan untuk mengadakan lebih 200 ceramah setakat ini.


Dilengkapi dengan kerusi urut dan kemudahan persidangan, bas berkenaan turut digunakan oleh PKR untuk mengadakan mesyuarat bersama pemimpin di peringkat akar umbni di setiap hentian mereka.

Tiada ulasan: