Sabtu, 16 Mac 2013

Polis Geledah Pejabat Suara Keadilan Cuma Cari Nota Wartawan


Pejabat SK Diserbu Polis 04

SHAH ALAM : Enam anggota polis hari ini bertindak menyerbu pejabat Suara Keadilan di Cheras dengan alasan untuk mendapatkan nota tulisan wartawan Keadilan Daily.

Pejabat SK Diserbu Polis 05

Mereka merupakan pasukan penyiasatan dari Johor Baharu berhubung kes kenyataan Naib Presiden PKR, Tian Chua berkaitan kontroversi Lahad Datu yang dimuat naik portal Keadilan Daily, 1 Mac lalu.

Ketika awal serbuan, polis mendakwa mempunyai waran menggeledah dan merampas komputer yang terlibat tetapi apabila diminta gagal menunjukan waran yang disebut.

“Mulanya kata nak rampas komputer, kemudian apabila peguam masuk campur membantah tindakan mereka, mereka kata nak ambil nota wartawan pula.

“Mereka boleh saja datang ambil, tidak perlu untuk geledah,” ujar Editor Suara Keadilan, Fazallah Pit ketika dihubungi TVSelangor berhubung kejadian pagi tadi.

Pejabat SK Diserbu Polis 03

Beliau turut melahirkan rasa pelik dengan tindakan kumpulan polis berkenaan kerana pihaknya memberikan kerjasama yang baik terhadap siasatan yang dijalankan sebelum ini.

“Saya bersama-sama sub editor dan wartawan, beberapa kali beri kenyataan di Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya berhubung siasatan tersebut namun tidak pernah pula mereka meminta nota wartawan.

“Serbuan pagi ini memang tak diduga dan menyebabkan suasana tidak senang,” tegasnya lagi.

Kakitangan pejabat kemudian menelefon peguam Latheefa Koya yang meminta polis berurusan dengannya.

Pejabat SK Diserbu Polis 02

Polis kemudian beredar tanpa mengambil apa-apa daripada pejabat kira-kira setengah jam berikutnya namun memberitahu mereka mahu menunggu wartawan, Aisha Geoffrey yang bercuti hari ini untuk mengambil notanya.

Berhubung permintaan tersebut, Fazallah dan Aisha hadir bersama dengan peguam Eric Paulsen di Balai Polis Pudu, kira-kira jam 1 petang tadi untuk menyerahkan nota itu sebelum beredar kira-kira 15 minit kemudian.

Peguam Eric turut memohon salinan waran geledah tersebut tetapi polis enggan berbuat demikian.

Pejabat SK Diserbu Polis 02

Tiada ulasan: