Jumaat, 29 Mac 2013

PKR guna Facebook untuk sebar maklumat tentang manifesto

Oleh Nomy Nozwir

 
 
KUALA LUMPUR— PKR akan menggunakan Facebook dan Twitter, yang akan diterbitkan secara selari dengan laman web Youtube bagi menerangkan orang ramai mengenai manifesto Pakatan Rakyat (PR) untuk pilihan raya umum akan datang. 
 
Menurut pengarah strategi parti Rafizi Ramli, sambutan yang diberikan oleh rakyat Malaysia yang menggunakan laman sosial Facebook adalah sangat baik, sehinggakan video "Turunkan Harga Kereta" mencecah capaian (atau reach) berjumlah 1,102,848 pengguna Facebook sehingga pagi ini (iaitu 3 hari selepas ia mula dimuatkan).

"Statistik ini meyakinkan PKR bahawa isu yang paling mendapat tempat di hati rakyat adalah isu bersabit masalah ekonomi seharian seperti kos sara hidup, peluang pekerjaan dan kesan rasuah kepada kehidupan rakyat.

"Perkara ini juga perlu dihayati oleh Umno/Barisan Nasional bahawa mereka juga perlu berdepan dengan PKR dalam isu-isu ini kerana inilah kehendak rakyat," kata Rafizi (gambar) dalam kenyataannya hari ini.

Menurut Rafizi, PKR akan menyiarkan video-video penerangan ini beberapa hari dalam membina momentum menjelang PRU13.

"Ia adalah lebih baik dari helah video lucah yang hebat dimainkan oleh Umno/Barisan Nasional untuk berdepan dengan kami," kata Rafizi lagi.

Beliau berkata, setakat ini, dua video sudah dilancarkan melalui laman sosial iaitu video "Turunkan Harga Kereta" dan "Turunkan Harga Minyak".

Video-video ringkas ini, menurut Rafizi, menjelaskan pelaksanaan dan pembiayaan program-program ekonomi penting yang dibawa oleh Pakatan Rakyat.

"Sewajarnya, PRU13 perlu menjadi medan yang menawarkan pilihan kepada rakyat - di antara program-program sedia ada di bawah Barisan Nasional yang mengundang pelbagai kesan politik, ekonomi dan sosial selama ini; dibandingkan dengan program-program yang ditawarkan oleh Pakatan Rakyat sekiranya menang.

"Sebab itu, semua parti-parti politik mestilah kembali kepada persoalan dan perbincangan dasar untuk berlaku adil kepada rakyat. Cubaan untuk membawa politik keganasan, mempolitikkan insiden di Lahad Datu, politik fitnah/lucah dan bermacam-macam lagi helah akhirnya akan dihukum oleh rakyat, yang menuntut supaya PRU13 ditumpukan kepada persoalan dasar, program anti-rasuah dan kredibiliti kerajaan," kata Rafizi lagi.

Pada bulan lalu, PR melancarkan manifesto pilihan raya, dan antara janji-janji yang ditawarkan dalam manifesto tersebut ialah penurunan harga kereta, penurunan harga minyak, pendidikan percuma dan pemansuhan Perbadanan Tabung Pengajian Tinggi Nasional (PTPTN), penghapusan tol, sasaran pendapatan isirumah minima RM4,000 dan caruman wanita.

Dua hari lalu, PKR bersama rakan-rakannya dalam PR, DAP dan PAS, menolak untuk membentangkan manifesto selama 10 minit seperti yang ditawarkan oleh Radio Televisyen Malaysia (RTM), kerana menurut ketua umumnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim, tindakan tersebut hanyalah seperti 'memperolok-olokkan' kebebasan media.

"Kita hanya dapat 10 minit, tetapi Umno-Barisan Nasional dapat 23 jam 50 minit," kata Anwar dalam sidang media di ibu pejabat PKR, yang turut dihadiri penasihat DAP, Lim Kit Siang, dan timbalan presiden PAS, Mohamad Sabu.

Tiada ulasan: