Sabtu, 30 Mac 2013

Pesara BBDS minta disenarai penerima tetap pencen

SINAR HARIAN

KUALA LUMPUR - Kelab Pesara Kerajaan 1Malaysia (Kupekmas) hari ini meminta supaya 5,000 pesara Badan Berkanun yang Diasingkan Saraan (BBDS) disenaraikan sebagai penerima tetap pencen.
  
Presiden Kupekmas, Datuk Omar Osman, yang juga Presiden CUEPACS, berkata kumpulan itu tidak harus dipinggirkan dalam pelaksanaan Dana Pencen bagi kakitangan BBDS seperti diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
  
"Pesara BBDS sudah banyak menabur bakti kepada agensi masing-masing sehingga agensi berkenaan berjaya sehingga ke hari ini," katanya pada sidang media berhubung isu tuntutan pencen oleh pesara BBDS di Wisma Perkeso di sini hari ini.
  
Turut hadir Pengerusi Persatuan Pesara BBDS, Mohd Noor Abdullah.
  
Omar berharap kumpulan itu akan mendapat sedikit penghargaan daripada pengumuman Perdana Menteri itu.
  
Baru-baru ini, Najib mengumumkan bahawa kira-kira 40,000 pegawai dan petugas di bawah tujuh agensi BBDS bakal menerima kemudahan pencen, imbuhan tetap perumahan, bayaran sagu hati tamat perkhidmatan dan penyelarasan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengikut tempoh perkhidmatan.
  
Tujuh agensi di bawah BBDS ialah Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT), Bank Simpanan Nasional (BSN), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), KWSP, Tabung Haji dan Perbadanan Hal Ehwal Bekas Tentera (Perhebat). - Bernama

Tiada ulasan: