Sabtu, 16 Mac 2013

Persimpangan Bertingkat Runtuh : PKNS Tunggu Keputusan LLM


 Jambatan 1

SHAH ALAM : Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dan PLUS Malaysia Berhad (PLUS) bersetuju untuk melantik perunding bebas bagi membuat kajian mengenalpasti punca berlakunya kejadian runtuhan persimpangan bertingkat baru-baru ini.

Pengurus Perhubungan Awam PKNS , Ishak Hashim, berkata, PKNS sudah mengemukakan tiga nama perunding bebas bagi menyiasat punca sebenar kejadian itu.

“PKNS sudah meminta Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) untuk mengambil langkah segera bagi memilih perunding bebas yang disyorkan PKNS dan PLUS untuk memudahkan proses mengenal pasti punca persimpangan bertingkat itu runtuh,” katanya.

Pada waktu yang sama, satu perunding bebas turut dilantik PKNS bagi menentukan sama ada kerja-kerja pembinaan persimpangan bertingkat itu telah mematuhi syarat-syarat pembinaan.

“Ini adalah selaras dengan amalan tadbir korporat yang diamalkan PKNS,” tambahnya kerja-kerja pembersihan kini sedang giat dijalankan oleh PKNS.

Kos perlantikan perunding akan ditanggung bersama di antara PLUS dan PKNS.

Hujung February lalu persimpangan bertingkat berdekatan Kilometer 2.4 Lingkaran Putrajaya menghala ke Lebuhraya Elite runtuh.

Semasa kejadian berlaku, kerja- kerja pembaikan jalan sedang dijalankan di bawah lokasi jambatan berkenaan.

Bagaimanapun tiada laporan kecederaan atau kehilangan nyawa dilaporkan dalam kejadian itu.

Jambatan persimpangan bertingkat yang mula dibina pada Oktober 2007 itu mula beroperasi pada November 2009 dan diserahkan kepada PLUS pada 22 Mac 2012.

Sebelum kejadian, jambatan tersebut telah ditutup kepada semua lalulintas mulai 7 Disember 2012 lalu dan dijangka dibuka semula pada 31 Disember 2013 nanti bagi memberi laluan kerja-kerja pembaikan.

Tiada ulasan: