Rabu, 27 Mac 2013

Perkasa adakan perhimpunan kemuncak hadapi PRU-13

MALAYSIA CHRONICLE

SHAH ALAM- Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa) akan mengadakan perhimpunan “Selamatkan Selangor" pada 6 April ini sebagai kemuncak aktiviti pertubuhan itu sebelum menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).

Perhimpunan tersebut dijadualkan diadakan di padang Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di sini pada pukul 3 petang dan bakal menghimpunkan kira-kira 20,000 ahli pertubuhan itu khususnya dari Lembah Klang dan Selangor.

Presidennya, Datuk Ibrahim Ali berkata, perhimpunan tersebut dijangka turut dihadiri oleh Tun Dr. Mahathir Mohamed dan beliau akan menyampaikan ucapan penting kepada para hadirin yang sebelum ini mungkin tidak pernah dinyatakan oleh bekas Perdana Menteri itu sebelum ini.

"Perhimpunan ini merupakan program terakhir diadakan oleh Perkasa di ambang PRU-13 dan kita harap semua rakyat dari semua kaum untuk hadir bersama-sama pada program yang diadakan dengan kerjasama Perkasa Selangor," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa penganjur program perhimpunan “Selamatkan Selangor" di sini malam tadi.

Yang hadir sama dalam mesyuarat tersebut ialah Naib Presiden Perkasa, Datuk Zulkifli Noordin dan Yang Dipertua Perkasa Selangor, Abu Bakar Yahya.

Ibrahim berkata, perhimpunan tersebut amat penting kepada rakyat terutamanya di Selangor terutama mengenai hala tuju dan masa depan mereka sebelum dan selepas PRU-13. UTUSAN

Tiada ulasan: