Khamis, 7 Mac 2013

Penceroboh menyamar orang awam

SINAR HARIAN

Sabah diceroboh
Sabah diceroboh
 
KUALA LUMPUR - Seorang penceroboh bersenjata dipercayai mati ditembak ketika cuba menyerang hendap pasukan keselamatan pada hari kedua Op Daulat di Kampung Tanduo, Lahad Datu, Sabah pagi semalam.

Bagaimana pun pengganas yang ditembak itu sempat dibawa lari oleh rakan-rakannya yang lain, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar.

Ismail mengesahkan kumpulan penceroboh kini menyamar dengan berpakaian seperti orang awam untuk melepaskan diri daripada kepungan pasukan keselamatan.

Dalam kejadian jam 6.45 pagi itu, pasukan polis dan tentera yang meneruskan operasi susulan dan penggeledahan ditembak oleh kumpulan pengganas itu, sebelum pasukan keselamatan membalas tembakan.

“Seorang musuh telah ditembak,” katanya pada sidang akhbar bersama Panglima Angkatan Tentera Jen Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin.

Ismail juga mengesahkan tiada anggota pasukan keselamatan negara terkorban atau cedera dalam operasi semalam.

Kawasan operasi kini diperluas setiap dua kilometer berikutan pasukan keselamatan mengesan kumpulan pengganas sedang bergerak ke tempat-tempat tertentu.

Ismail sekali lagi menasihatkan penduduk di kawasan sekitar agar berhati-hati dan dapatkan  maklumat di pos taktikal pasukan keselamatan dan balai polis berdekatan.

“Saya minta kerjasama orang ramai agar tidak cemas walaupun musuh bergerak lebih luas kerana pasukan keselamatan masih mengawal,” katanya. - Bernama

Tiada ulasan: