Khamis, 14 Mac 2013

Pemimpin BN tidak bersetuju dengan Musa Hitam, tegaskan manifesto Pakatan satu kegagalan


Oleh Mohd Farhan Darwis, Md Izwan dan Zurairi AR

KUALA LUMPUR — Ahli politik Barisan Nasional (BN) memberi reaksi kecewa dan sinis terhadap kenyataan bekas Timbalan Perdana Menteri Tun Musa Hitam mengatakan Malaysia tidak akan bankrap sekiranya Pakatan Rakyat (PR) berjaya menawan Putrajaya dalam pilihan raya akan datang.

Ahli parlimen BN menegaskan manifesto PR kekurangan kemapanan dan kredibiliti, tidak seperti rekod BN yang telah terbukti berjaya memerintah Malaysia untuk beberapa dekad lalu.

“Bagaimana sesiapa sahaja boleh meramalkan apa yang akan berlaku?” kata Datuk Chua Tee Yong kepada The Malaysian Insider di sini, merujuk kepada dakwaan Musa kerajaan PR akan bekerja keras untuk mengekalkan pertumbuhan ekonomi negara.

Ketua Biro Profesional Muda MCA itu mengekalkan keraguan beliau PR akan dapat untuk melaksanakan setiap janji di dalam manifesto pilihan raya mereka tanpa menghabiskan tabung simpanan negara.

Akan tetapi ahli parlimen BN tidak menyerang Musa dengan jelas secara peribadi kerana kedudukan beliau yang tinggi di kalangan rakyat Malaysia.

Walau bagaimanapun, komen bekas pemimpin itu dalam satu wawancara Sinar Harian yang diterbitkan semalam dan perbualan beliau secara peribadi tentang Umno dan politik telah menyebabkan kebingungan di Putrajaya.

Ahli Parlimen Umno Tangga Batu Datuk Idris Haron mempertahankan tuduhan bankrap, menjelaskan ianya dibuat dalam konteks mengkritik manifesto PR dan bajet bayangan yang gagal untuk mengambil kira kemapanan ekonomi.

“Mereka kata keuntungan daripada gejala rasuah dan korup yang dapat mereka atasi, namun, ia hanyalah sekadar angka yang bukan dalam bentuk fizikal,” kata Idris.

“Manifesto mereka juga dibuat tergesa-gesa dan ibarat seperti setengah masak.”

Setiausaha Agung MIC S Murugesan menyelar pakatan pembangkang kerana gagal menunaikan janji mereka di Selangor, negeri yang buat pertama kalinya jatuh dalam pilihan raya lepas.

“Pembangkang sepatutnya membuktikan terlebih dahulu di negeri yang mereka perintah,” kata Murugesan.

Chua bersetuju dengan Murugesan, mengatakan sebab Selangor berjaya untuk terus bertahan adalah kerana PR telah gagal untuk menunaikan janji mereka di negeri tersebut.

“Mereka tahu jika mereka laksanakan (janji-janji) itu, Selangor akan muflis,” kata Chua.

Ahli parlimen Labis itu juga meramalkan kerajaan persekutuan PR pasti perlu mencari langkah-langkah lain untuk meningkatkan pendapatan kerajaan, seperti meningkatkan cukai, jika mereka mahu Malaysia tidak bankrap ketika cuba menunaikan janji.

Dalam wawancara bersama Sinar Harian, Musa dilihat mempertahankan PR, yang telah diramalkan oleh ahli-ahli politik dan sesetengah pemerhati memihak kepada BN sebagai berkemungkinan untuk menghabiskan tabung simpanan negara dan akan menakutkan pelabur-pelabur asing dengan dasar-dasar awam dicadangkan dalam usaha mereka untuk mengambil alih kuasa persekutuan.

“Jika pembangkang memerintah, mereka tidak akan membuat pelabur dari luar negara lari. Mereka tidak akan buat sedemikian dan membuat ekonomi bankrap,” kata Musa dalam satu sidang media pada Selasa.

Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dalam beberapa bulan kebelakangan ini telah memberi amaran kepada rakyat Malaysia tentang mengundi untuk perubahan, berhujah ia akan menyebabkan kerajaan lemah yang akan menghalang kemajuan ekonomi.

Semasa jamuan makan tengah hari bagi memperingati ulang tahun ke-64 MCA pada Januari, presiden parti itu Datuk Seri Dr Chua Soi Lek telah memberi amaran kepada ahli Indeks Komposit FTSE Bursa Malaysia Kuala Lumpur (FBM-KLCI) akan jatuh 500 mata jika PR mula berkuasa.

PR pula cuba untuk mengubah persepsi serta meredakan kebimbangan, dengan dua forum bertajuk “Menguruskan Ekonomi Semasa Peralihan Politik” yang diadakan oleh Institut Rakyat berkait rapat dengan PKR semalam di Pulau Pinang, dan sebelum ini di Kuala Lumpur.

Dalam forum dua hari lepas, pengarah eksekutif Institut Pulau Pinang Prof Woo Wing Thye menggesa perubahan total perlu berlaku sebelum Malaysia boleh memperbaiki ekonomi yang tersekat, diburukkan lagi oleh politik.

Rakan panel beliau, ahli ekonomi Bank Islam yang digantung, Azrul Azwar Ahmad Tajuddin telah meramalkan pemulihan ekonomi pantas di bawah setahun sekiranya PR menang Pilihan Raya 2013.

Ekonomi Malaysia berkembang 5.4 peratus tahun lepas, sedikit melebihi kadar potensi ekonomi kira-kira lima peratus, firma penyelidikan Moody Analytics melaporkan bulan lepas.

Ekonomi ketiga terbesar di Asia Tenggara akan mengharungi pilihan raya umum akan datang dan mengekalkan pertumbuhan kukuh walaupun terdapat perubahan dalam kerajaan, kata penganalisis ekonomi terkenal dunia Nouriel Roubini kepada Forum Datum Ekonomi 2013 di sini pada 1 Mac.

Parti-parti pembangkang PKR-DAP-PAS telah memenangi 82 daripada 222 kerusi di Parlimen dan empat negeri dalam Pilihan Raya 2008, menafikan majoriti dua pertiga BN.

Malaysia dijangka akan mengadakan pilihan raya dalam beberapa minggu akan datang, dengan penganalisis meramalkan kemungkinan berlaku perubahan rejim buat pertama kalinya sejak kemerdekaan negara pada tahun 1957.

Tiada ulasan: