Rabu, 20 Mac 2013

Pejabat Perdana Menteri nafi khabar angin Parlimen dibubarkan hari ini

TERKINI
THE MALAYSIAN INIDER

 Khabar angin bertiup kencang bahawa Datuk Seri Najib Razak bertemu dengan Yang Di-Pertuan Agong pagi ini dan mengadap Tuanku untuk meminta perkenan membubarkan Parlimen. - Gambar Reuters KUALA LUMPUR — Pejabat Perdana Menteri menafikan khabar angin Parlimen akan dibubarkan untuk pilihan raya umum ke-13.

Dalam Twitter rasmi Pejabat Perdana Menteri @PMOMalaysia, ia tertulis: “Salam sejahtera. Khabar angin yg menyatakan Parlimen akan dibubarkan hari ini, oleh Perdana Menteri @NajibRazak, tidak benar sama sekali.”

Khabar angin bertiup kencang bahawa Datuk Seri Najib Razak bertemu dengan Yang Di-Pertuan Agong pagi ini dan mengadap Tuanku untuk meminta perkenan membubarkan Parlimen.

Ini adalah tempoh masa kedua paling panjang untuk diadakan pilihan raya selepas kali terakhir ialah di antara pilihan raya ketiga pada Mei 1969 dan pilihan raya keempat pada Ogos 1974.

Pemimpin Barisan Nasional bertemu pada 18 Mac untuk membuat senarai akhir calon untuk 222 kerusi Parlimen dan 505 kerusi dewan undangan negeri pada Pilihan Raya 2013, yang akan berlangsung kira-kira sebulan dari sekarang, The Malaysian Insider melaporkannya semalam.

Sumber melaporkan terdapat beberapa muka baru, walaupun Najib, yang juga pengerusi BN, akan mengekalkan beberapa orang lama, terutamanya yang mendapat markah tinggi dalam laporan tahunan kerajaan yang diumumkan semalam.

Dalam ucapan laporan tahunan Program Transformasi Negara (NTP) semalam, Najib mengumumkan pencapaian kerajaannya dalam masa tiga tahun, dan mengumumkan skim Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M) akan diadakan secara tahunan.

Perdana Menteri turut mengambil kesempatan menyerang Pakatan Rakyat (PR) dalam ucapannya semalam, dan mengingatkan orang ramai untuk meneruskan mandat Barisan Nasional (BN) daripada mengundi PR dalam pilihan raya akan datang.

“Rakyat Malaysia harus memilih antara kerajaan yang meneruskan polisi yang sudah dibuktikan, atau mereka yang hanya bercakap dengan lidah bercabang, dan mengambil ringan kepercayaan rakyat,” kata
Najib dalam menggariskan pencapaian beliau dalam Program Transformasi Ekonomi (ETP) dan Program Transformasi Kerajaan (GTP).

“Pilih kerajaan yang transformatif, dan bukan memusnahkan masa depan.”

Menurut laporan, BR1M membantu kira-kira lima juta keluarga dengan kos berjumlah RM2.6 billion tahun lalu, dan meningkatkan sokongan ke atas Najib sebanyak 69 peratus, kebanyakannya mereka yang berpendapatan rendah.

BR1M adalah pemberian secara one-off sebanyak RM500 untuk isirumah yang berpendapatan RM3,000 ke bawah, dan pemberian kedua dilakukan tahun ini di dalam Bajet 2013 dengan peruntukan RM3 billion yang dijangka dapat membantu 4.3 juta isirumah.

Tindakan tersebut dikritik sebagai percubaan membeli undi untuk pilihan raya akan datang, termasuk kenyataan kontroversi Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang berkata ia seperti memberi haiwan makan untuk mendapat sokongan.

Menurut Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (PEMANDU), pada momentum ketika ini, Malaysia akan mencapai pendapatan per kapita pendapatan kasar negara sebanyak AS$15,000 (RM46,840) pada 2018, dua tahun sebelum 2020.

Berdasarkan sasaran per kapita pendapatan negara kasar, Malaysia juga perlu mencipta 3.3 juta peluang pekerjaan dan menerima pelaburan sebanyak AS$444 billion (RM1.3 trillion) pada 2020 bagi menjadi negara berpendapatan tinggi.

Penganalisis berpendapat inisiatif transformasi di bawah ETP dan GTP menjadikan kadar pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) kepada 6.4 peratus setahun dalam suku keempat tahun lalu.

Seramai 13.3 juta, termasuk 3,000 orang di luar negara mendaftar sebagai pemilih untuk mengundi dalam pilihan raya yang dikatakan paling sengit dalam sejarah.

Pilihan raya lalu berlangsung pada 8 Mac, 2008 tetapi Najib mengambil masa untuk membubarkan parlimen.

PM mempunyai masa sehingga 28 April sebelum ia tamat secara automatik tetapi menurut sumber melaporkan Parlimen akan dibubarkan dalam minggu ini dan pilihan raya akan berlangsung pada pertengahan April.

Pegawai BN yakin gabungan pemerintah tersebut mendapatkan dua per tiga majoriti walaupun pimpinan PR yang diketuai Datuk Seri Anwar Ibrahim turut yakin untuk menang.

Tiada ulasan: