Isnin, 18 Mac 2013

Pakatan baiki manifesto, dengar suara rakyat

SALMIAH DRUHAMAD DRAHSIN

M Kulasegaran
M Kulasegaran
 
SHAH ALAM - Pakatan Rakyat (PR) mungkin akan membuat beberapa penambahbaikan manifestonya bertemakan Pakatan Harapan Rakyat, yang dibentangkan bulan lalu, susulan maklum balas rakyat dari seluruh negara, kata Naib Pengerusi DAP, M. Kulasegaran.

"Kita nampak ramai rakyat di seluruh negara memberi pandangan mereka," katanya.

Walaupun masih di peringkat perbincangan, antara penambahbaikan yang akan dilaksanakan dalam 100 hari pentadbiran pembangkang adalah menyelesaikan isu kad pengenalan merah, biru dan rakyat yang tidak memiliki sijil kelahiran.

"Ini masalah yang amat rumit pada hari ini di mana lebih 300,000 orang dalam keadaan ini," kata beliau yang juga Ahli Parlimen Ipoh Barat.

Manifesto PR yang dibentangkan bulan lalu menggariskan empat teras utama iaitu Rakyat Bersaudara, Ekonomi Rakyat, Kesejahteraan Rakyat dan Kerajaan Rakyat.

Manifesto ini adalah sebahagian daripada kandungan Buku Jingga yang dilancarkan perikatan itu pada tahun 2010.

Menurut Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail, pihaknya mendapat maklum balas cukup baik daripada rakyat sehingga tidak menang tangan untuk turun ke padang bagi menerangkan manifesto pihaknya.

Bahkan PKR sendiri katanya, akan melancarkan sebuah aplikasi baru minggu hadapan bagi membolehkan rakyat mengakses maklumat parti itu.

"Kami akan memasukkan semua bahan kempen untuk nantinya memperkenalkan calon dengan menggunakan pendekatan itu," katanya lagi sambil berkata pendekatan tradisional menerusi ceramah-ceramah juga akan terus diperhebatkan.

Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali pula menegaskan, manifesto adalah sebuah perancangan yang tertakluk kepada kekangan semasa dan faktor masa.

"Manifesto ini adalah perancangan kita. Apa yang kita hendak buat. Ada perkara yang boleh dibuat cepat, ada yang lambat sedikit. Ada yang lebih daripada lima tahun," katanya sambil berkata, akar umbi dan rakyat menerima baik manifesto perikatan itu.

Tiada ulasan: